Dua jenis wakil rakyat yang perlu diketahui

Dua jenis wakil rakyat yang perlu diketahui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ada dua jenis wakil rakyat yang sering menjadi penilaian masyarakat. Pertama, wakil rakyat yang sentiasa bersama rakyat tanpa mengira musim, manakala kedua ialah wakil rakyat bermusim yang hanya kelihatan aktif apabila pilihan raya semakin hampir.

Golongan pertama lazimnya mudah dihubungi sama ada melalui panggilan telefon, mesej atau media sosial. Mereka turun padang secara konsisten, mendengar keluhan rakyat dan berusaha mencari penyelesaian terhadap setiap aduan yang diterima.

Walaupun tidak semua masalah dapat diselesaikan de­ngan segera, sekurang-kurangnya rakyat merasakan suara mereka didengari dan tidak dipinggirkan. Hubungan yang rapat antara wakil rakyat dan masyarakat menjadi asas kepada kepercayaan yang dibina sepanjang tempoh perkhidmatan.

Keduanya adalah wakil rakyat yang hanya muncul ketika musim pilihan raya. Kehadiran mereka lebih banyak dilihat pada poster, gegantung ucapan perayaan atau program berskala besar, namun sukar ditemui apabila rakyat berdepan pelbagai masalah harian.

Keadaan itu menyebabkan sebahagian pengundi mula mempersoalkan sejauh mana komitmen seseorang wakil rakyat terhadap amanah yang diberikan. Dalam tempoh lima tahun selepas dipilih, rakyat mengharapkan khidmat yang berterusan dan bukannya kehadiran bermusim.

Dalam era digital hari ini, alasan sukar dihubungi juga semakin sukar diterima. Pelbagai platform komunikasi se­perti WhatsApp, emel dan Facebook membolehkan rakyat menyam­paikan aduan lebih mudah dan pantas.

Namun begitu, prestasi seseorang wakil rakyat tidak wajar diukur semata-mata berdasarkan kekerapan turun padang. Tanggungjawab mereka jauh lebih luas, termasuk menggubal dasar, membahaskan rang undang-undang, memperjuangkan kepentingan kawasan, menarik pelaburan serta menyelesaikan pelbagai isu pentadbiran yang tidak semestinya mendapat perhatian media.

Atas sebab itu, ukuran sebenar seorang wakil rakyat perlu mengambil kira keseimbangan antara kehadiran bersama rakyat dan keberkesanan melaksanakan tanggungjawab di peringkat legislatif serta pentadbiran.

Wakil rakyat yang kerap turun padang tetapi gagal membawa perubahan kepada kawasan juga tidak memberi manfaat sepenuhnya. Begitu juga mereka yang bekerja di belakang tabir dengan baik, tetapi gagal membina hubungan dan komunikasi yang berkesan dengan masyarakat.

Hakikatnya, pengundi kini semakin matang, celik maklumat dan lebih kritikal dalam membuat penilaian. Mereka tidak lagi bergantung kepada kempen, ceramah atau janji pilihan raya semata-mata, sebaliknya meneliti rekod prestasi sepanjang tempoh memegang jawatan.

Aspek integriti, keikhlasan, ketelusan, kemampuan menyelesaikan masalah serta kesediaan mendengar panda­ngan rakyat kini menjadi antara faktor utama yang menentukan tahap keyakinan pengundi terhadap seseorang wakil rakyat.

Dalam masa yang sama, media sosial turut mengubah corak penilaian masyarakat. Setiap tindakan, kenyataan dan pencapaian wakil rakyat dapat dinilai secara terbuka, sekali gus menjadikan rakyat lebih mudah membezakan antara khidmat yang benar-benar dilakukan dengan sekadar publisiti.

Dalam demokrasi yang semakin matang, rakyat bukan sekadar memilih calon terbaik ketika pilihan raya, tetapi menilai siapa yang benar-benar berkhidmat untuk mereka tanpa mengira musim. – UTUSAN

Juani Munir Abu Bakar ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia