Diskaun saman hantar mesej salah

Diskaun saman hantar mesej salah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan mengutip sejumlah RM21.36 juta bayaran saman tertunggak hanya dalam masa tiga hari menerusi tawaran Kadar Khas Bayaran Saman sebanyak RM50 yang bermula Jumaat lalu.

Angka yang tinggi itu dipercayai disumbangkan menerusi kesalahan-kesalahan lalu-lintas yang sebelum ini tidak boleh dikompaun seperti langgar lampu merah, melebihi had laju dan memandu di lorong kecemasan, selain kemudahan membayar saman secara dalam talian.

Orang ramai menganggap tawaran saman ‘rahmah’ itu adalah tawaran terbaik berbanding tawaran-tawaran sebelum ini dan tidak sewajarnya dilepaskan. Kata mereka, kita tidak mungkin akan mendapat lagi tawaran seperti itu kecuali kerajaan bertukar sekali lagi.

Namun, di sebalik keprihatinan kerajaan dan kelegaan rakyat dengan adanya tawaran seperti itu, persoalan yang perlu ditanya ialah mengapa penguatkuasaan undang-undang masih belum mampu memberi kesedaran dan mendidik pemandu untuk berhemah di jalan raya.

Mengikut rekod PDRM, jumlah keseluruhan saman tertunggak adalah 37 juta saman bernilai RM5.6 bilion dalam tempoh 33 tahun. Secara purata, 1.21 juta saman dikeluarkan setiap tahun atau 3,315 saman setiap hari. Itu belum dikira saman yang tidak tertunggak.

Perlu juga direnungkan ialah adakah sudah menjadi tabiat pemandu Malaysia hari ini memeram dahulu saman yang diterima kerana mereka yakin dan pasti, kerajaan pasti akan membuat tawaran diskaun suatu hari nanti. Masa itu baru bayar.

Apatah lagi dengan kedudukan kerajaan yang tidak stabil sejak beberapa tahun lalu ekoran tindakan wakil rakyat melompat ke sana sini, tawaran diskaun saman sudah menjadi semacam gula-gula manis untuk menarik sokongan rakyat.

Terlalu kerap membuat tawaran potongan kadar saman sekadar menghantar mesej yang salah kepada pemandu. Bukan tidak menyokong usaha kerajaan ini tetapi ia tidak wajar dilaksanakan dengan kerap, seolah-olah menjadi acara tahunan.

Dan lebih tidak wajar apabila ditawarkan satu harga untuk semua kesalahan. Kesalahan langgar lampu merah dengan kesalahan nombor plat tidak ikut spesifikasi tentunya dua kesalahan yang terlalu besar bezanya.

Di musim-musim raya ini, sangat menyakitkan hati apabila ada kenderaan yang memotong menggunakan lorong kecemasan di ketika pemandu lain bersabar, bersesak dan mematuhi undang-undang. Tetapi akhirnya, mereka yang memotong barisan itu hanya membayar RM50.

Apalah sangat RM50 bagi mereka yang berkenderaan mewah, yang nombor plat mereka pun sudah berharga puluhan ribu ringgit.

Justeru, kerajaan wajar mengkaji semula tawaran potongan harga saman trafik ini agar matlamat mewujudkan undang-undang jalan raya dapat dicapai. Kesalahan-kesalahan besar bukan sahaja tidak wajar diberikan diskaun, malah perlu dinaikkan lagi.

Langkah ini memang tidak popular tetapi ia mampu mendidik dan mengingatkan pemandu bahawa undang-undang itu wujud dan semua orang wajib mematuhinya.

Namun, pada ketika ini, kepada yang belum menyelesaikan tunggakan saman mereka, ini adalah peluang dan waktu terbaik yang tidak harus dilepaskan. – UTUSAN