Di mana silapnya kisah Ali, Ah Chong dan Muthu?

Di mana silapnya kisah Ali, Ah Chong dan Muthu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA-nama seperti Ali, Ah Chong, Muthu; Ahmad, Lim, Raj atau Siti, Mei Ling, Devi pernah hadir dalam kehidupan kanak-kanak majoriti rakyat Malaysia dengan dijadikan watak buku cerita dan buku teks sekolah rendah.

Naratif kewujudan figura berbilang bangsa itu tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menzahirkan asas komposisi kepelbagaian kaum serta agama di negara ini yang mempunyai sejarah panjang.

Objektif utama sudah pasti untuk setiap warganegara mengenali dan menghormati perbezaan yang ada, supaya tidak ada mana-mana pihak melangkui sempadan kontrak sosial yang akhirnya menimbulkan ketidakharmonian dalam masyarakat.

Meskipun sudah hampir 68 tahun tanah bertuah ini mencapai kemerdekaan, kita dilihat masih gagal untuk mengenal pasti sensitiviti sesama sendiri terutama daripada aspek agama, kepercayaan dan
budaya.

Saban waktu, ada sahaja isu-isu berkaitan yang sedikit sebanyak menimbulkan ketegangan, walaupun hanya segelintir sahaja yang seolah-olah cuba mencurahkan ‘minyak ke dalam api’.

Sejak 2020 hingga 2024, sebanyak 61 kes tangkapan dengan 52 kes didakwa berkaitan penghinaan agama Islam direkodkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar memaklumkan, jumlah kes itu adalah tindakan yang diambil ke atas orang Islam yang menghina agama Islam.

Bagi orang bukan Islam yang didapati menghina agama Islam, kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sama ada isu kalimah Allah pada stoking, isu tidak menjual jagung kepada orang Keling dan terbaharu isu mempersenda perayaan Thaipusam, ia sepatutnya dinoktahkan.

Perkembangan terkini berhubung isu mempersenda perayaan Thaipusam, ketiga-tiga penyampai radio terlibat telah membuat permohonan maaf atas perbuatan mereka.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memuji tindakan memohon maaf dibuat, namun menegaskan daripada segi undang-undang mereka tetap akan disiasat.

Melihat kepada episod sama yang kerap berulang, adakah kisah Ali, Ah Chong, Muthu yang pernah dibaca oleh setiap generasi gagal membawa mesej kebersamaan, hormat-menghormati atau saling mengenali?

Ataupun wujud kelompongan terhadap peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan 3R (raja, bangsa, agama) sehingga ada yang berasakan bahawa permohonan maaf sudah cukup bagi meredakan suasana.

 

Hadi Ab. Manap adalah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia – UTUSAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya