Di mana-mana hanya kegelapan - Utusan Malaysia

Di mana-mana hanya kegelapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPADA rakyat yang mencintai negara ini mereka pasti bertanya bagaimana Malaysia boleh sampai ke tahap sebegini rupa baik dari segi ekonomi, politik dan kesihatan awam. Di manakah salahnya?

Ini Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan ekonomi purata lebih lapan peratus sepanjang 1990-an. Walaupun pendapatan per kapita ketika itu hanya satu pertiga berbanding hari ini, rakyat merasai betapa bertuahnya bumi Malaysia ini.

Ke mana Malaysia itu? Masa terperap di rumah, memberi ruang untuk berfikir apa yang berlaku. Inikah maknanya seperti terkena sumpahan seperti Pulau Langkawi?

Pada hari ini setahun lalu, jumlah kes Covid-19 hanya 14. Jumlah kematian pada 2 Ogos 2020 adalah sifar. Beberapa hari lalu kita mencatatkan rekod 17,786 kes. Kita juga merekodkan jumlah kematian hampir 300 orang sehari.

Lembah Klang “penyumbang” terbesar kes dan kematian. Persoalannya, kenapa program vaksinasi tidak diberi penekanan kepada Lembah Klang sejak awal.

Secara logik (tidak perlu aplikasi canggih dengan bayaran berjuta), ada kira-kira 7.7 juta penduduk di Lembah Klang. Bila lebih ramai penduduk, lebih tinggi risiko pandemik dan lebih ramai ada komorbiditi.

Bukankah secara logik sepatutnya Lembah Klang menjadi lubuk vaksinasi. Ketika ini lebih 50 peratus kematian harian adalah dari Lembah Klang.

Persoalannya adakah kematian ini dapat dikurangkan? Benar bermula hari ini, orang ramai boleh walk-in di Lembah Klang, tetapi persoalannya, adakah situasi parah ini dapat dielakkan?

Dari segi ekonomi, lebih tiga juta graduan bekerja dalam bidang berlainan daripada apa yang dipelajari dengan lebih 200,000 masih menganggur. Ini selepas lapan pakej rangsangan bernilai lebih RM500 bilion.

Dalam semua kekeliruan ini, timbul persoalan pemansuhan ordinan darurat dan siapa berkuasa mengikut perlembagaan.

Adakah ia perlu dibahas di Parlimen atau cukup dibatalkan atas nasihat kerajaan? Mungkin mahkamah persekutuan dapat merungkainya. Tetapi kemelut kerajaan-istana ini menimbulkan lebih banyak persoalan, menjangkaui siapa di pihak yang benar.

Adakah Yang di-Pertuan Agong diberitahu pada pertemuan pra-kabinet sebelum mesyuarat bahawa ordinan akan dibatalkan? Jika tidak, bagaimana pula selepas keputusan dibuat Kabinet pada 21 Julai? Adakah sesiapa membawa keputusan yang sebegitu penting kepada Yang di-Pertuan Agong pada hari sama? Jika betul nasihat kerajaan mencukupi memansuhkan enam ordinan darurat, apakah fungsi Parlimen dan ahli Dewan Rakyat? Selain Yang di-Pertuan Agong, bagaimana pula nasihat Raja-Raja Melayu lain yang dizahirkan dalam surat awal bulan lalu?

Bagaimana pula rang undang-undang baharu termasuk belanjawan? Adakah cukup hanya mengemel kepada ahli Dewan Rakyat tanpa perlu berbahas kerana ia akan diluluskan.

Jika ini prinsip demokrasi, kenapa perlu rakyat bersusah payah mengundi setiap lima tahun. Sesi Parlimen Khas hari ini ditangguhkan berikutan ada 11 kes Covid-19? Kilang boleh dibuka selepas sanitasi tetapi persoalannya, kenapa prosedur sama tidak diaplikasikan? Semua persoalan ini bermain di fikiran rakyat yang menyayangi negara ini.

Rakyat akan mengingati semua titik-titik hitam ini. Manusia dinilai bukan sahaja mengenai apa yang dibina dan tetapi apa yang dimusnahkan. Semua ini mungkin tidak dicatatkan dalam buku sejarah sekolah tetapi ia tidak akan luput daripada ingatan.

Mohamad Azlan Jaafar ialah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.

 

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya