Di mana generasi penamat ketirisan - Utusan Malaysia

Di mana generasi penamat ketirisan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHRISTOPHER Columbus adalah penjelajah terkemuka dunia berbangsa Itali. Pelayarannya membawa kepada penemuan kepulauan Caribbean dan Amerika Selatan. Hari ini Columbus dikenali kerana penemuan benua Amerika.

Pelayar Portugis Ferdinand Magellan adalah orang pertama menge­tuai misi mengelilingi dunia. Dia mengembara sehingga ke Melaka yang kini Malaysia dan terbabit dalam penaklukan pelabuhan Melaka.

Sir Francis Drake pula adalah orang kedua yang mengelilingi dunia dan dianggap antara pelaut paling masyhur pada era Elizabethan. Dunia baharu ditemui melalui iltizam, semangat dan kapal yang membawa Columbus, Magellan dan Drake ke serata pelosok dunia.

Di Malaysia, kerajaan berbelanja RM9 bilion tetapi tiada satu kapal keluar dari limbungan. Pendedahan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai pembinaan enam littoral combat ship (LCS) yang ‘ke laut’ selepas RM6 bilion dibelanjakan satu lagi bukti ke­pincangan sistem pengurusan negara. Projek yang bermula pada 2011 kini menjadi skandal ‘Kapal-gate’.

Bukan sahaja enam LCS gagal disiapkan mengikut jadual, kegagalan kontraktor dan kerajaan menerima pandangan pegawai tertinggi Tentera Laut Diraja Malaysia menjadikan isu ini sepanas 1MDB.

Setelah berbelanja RM6 bilion, yang ada kelongsong kapal di limbungan.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh menggambarkan situasinya sebagai menyedihkan ketika lawatan ke Boustead Naval Shipyard (BNS) di Lumut, Perak. Menyedihkan? Sangat.

Mengejutkan? Tidak! Perkara sama sering berulang sehingga timbul persoalan projek mana yang tidak disalah guna? Kita sudah diceriakan pelbagai nama dalam lejar UKSB. Kita mendengar bagaimana wang digunakan melicinkan pengekalan konsesi. Ramai saksi membuka mulut tanpa segan tetapi mengaku memberi wang berjuta ringgit dengan mudah.

Kita juga sering dihidangkan oleh Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun mengenai pelbagai kepincangan pengurusan kewa­ngan membabitkan kementerian dan agensi berkaitan kerajaan.

Dari sekolah kepada hospital lewat, sehingga ketirisan dan pemberian kontrak tanpa mematuhi peraturan. Malah ada satu masa dahulu laporan audit memaparkan pembelian kren di sebuah institusi latihan teknikal tetapi kren itu terbiar kerana tiada tenaga pengajar. Hanya di Malaysia.

Persoalannya berapa ramai yang disiasat, dihukum atau dikenakan tindakan disiplin atau tatatertib setiap kali pendedahan laporan ketua audit? Adakah tiada siapa ambil peduli pelanggaran prosedur atau kegagalan menyiapkan projek menyebabkan kerugian kepada negara?

Kenapa tiada pegawai ditegur atau diambil tindakan? Apa gunanya laporan audit ratusan muka surat.

Di sektor swasta pelanggaran prosedur menyebabkan CEO atau CFO dibuang kerja. Syarikat senaraian awam harus memperinci dan menjawab setiap sen dibelanjakan atau berhadapan tindakan memanipulasi akaun. Kenapa standard sama tidak digunakan untuk seluruh sistem pentadbiran?

Kenapa tiada usaha mewujudkan generasi penamat kepincangan pengurusan yang menyebabkan negara kerugian ratusan bilion ringgit sejak berdekad lalu? Jika hak dan civil liberty sesuatu pihak boleh dirampas, kenapa tidak dirampas hak mereka yang menyebabkan semua kepincangan, ketirisan dan kegagalan melaksanakan ama­nah dan tanggungjawab?

Kerajaan menjanjikan hukuman terhadap pesalah ‘Kapal-gate’ dan itu melegakan. Realitinya pembina bot di Pulau Duyong lebih dihormati walaupun hanya menggunakan tukul, kapak dan paku kayu. Bot yang ditempah pasti ke laut dengan bangga menerjah ombak dan berbakti kepada pemiliknya.

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.