Di mana boleh beli ikan murah? - Utusan Malaysia

Di mana boleh beli ikan murah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebut sahaja di mana barang keperluan harian dijual pada harga murah, maka di situlah orang ramai akan bertumpu untuk mencari barangan tersebut. Keadaan itu bukan sesuatu yang pelik kerana ketika zaman segala barang dijual mahal, yang murahlah dicari orang.
Begitu juga di Sekinchan, Selangor, satu kawasan yang terletak di tepi laut dan terdapat ba­nyak jeti nelayan serta perkampungan nelayan. Harga ikannya dikatakan lebih murah daripada tempat lain. Berdasarkan kedudukan geografi itu, mungkin anggapan banyak pihak harga ikan di kawasan tersebut lebih murah adalah betul. Tetapi benarkah anggapan tersebut?
Kalau harga sotong bersaiz sederhana sekilo RM30, ikan jenahak sekilo RM40 dan kebanyakan peniaga bersebelahan jeti pendaratan ikan pula seperti tidak berminat menjual ikan rakyat contohnya kembung, belanak, murahkah harga ikan di Sekinchan?
Sebab itulah jangan berasa pelik apabila ada orang ramai yang akan bergerak dari satu jeti ke satu jeti lain kerana mencari ikan yang harganya lebih murah. Malah ada yang masuk tetapi keluar semula dengan tangan kosong. Rata-rata kecewa dengan harga ikan yang tinggi.
Mereka tidak menunggu lama pun untuk tawar menawar kerana harga memang sudah ditunjukkan sekian-sekian. Mereka pun tahu harga ikan yang ditawarkan mungkin lebih kurang sama juga dengan ikan di tempat mereka.
Kalau ada yang membeli pun sebab sudah malas mencari peniaga yang menjual dengan harga lebih murah ataupun enggan pulang kosong selepas datang dari jauh mencari ikan yang murah.
Kebanyakan peniaga ikan di jeti berkenaan menjual sumber protein itu pada harga yang lebih kurang sama dengan tempat-tempat lain.
Memang agak mengecewakan jika harga ikan di jeti pun sama mahal dengan harga ikan yang dijual di pasar sama ada di Sekinchan sendiri atau pun pasar-pasar di tempat lain. Ia satu keadaan yang tidak sepatutnya berlaku apabila ramai beranggapan ikan di jeti sepatutnya lebih murah.
Kalau peniaga di jeti pun jual mahal, pada siapa lagi boleh diharapkan untuk menjual ikan dengan harga yang lebih rendah?.
Di jetilah sebenarnya Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) patut main peranan dan membantu orang ramai mendapatkan ikan pada harga yang lebih rendah. Ini kerana LKIM dikatakan mempunyai 140 jeti pendaratan ikan di seluruh negara malah ada peti sejuk besar untuk tujuan menyimpan stok.

Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya