Demi hari muka Negeri Sembilan

Demi hari muka Negeri Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Jika ada kekusutan, dicari penyelesaian, demi hari muka Negeri Sembilan. Setia kepada raja, pemimpin serta negara, berbakti dengan jujur, negeri aman makmur.”

Itulah sebahagian bait lirik daripada lagu patriotik bertajuk Bersama Setia. Lirik ini begitu kuat dalam ingatan kerana sering dinyanyikan dalam perhimpunan-perhimpunan sekolah di Negeri Sembilan sekitar pertengahan tahun 90-an.

Namun hari ini, bait-bait lirik tersebut seakan menjadi cerminan kepada realiti semasa yang sedang melanda Negeri Sembilan, sebuah ne­geri yang kecil daripada segi geografi namun kaya dengan adatnya. Negeri Sembilan kini berdepan kemelut yang menyentuh tentang adat, politik dan perlembagaannya.

Krisis yang tercetus daripada isu pemecatan Undang Luak Sungai Ujong kini berlarutan menjadi polemik lebih besar sehingga menjejaskan struktur politik negeri.

Kemuncak kepada kemelut ini tercetus apabila kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun kehilangan sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Perubahan berlaku apabila 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) menarik sokongan manakala lima ADUN daripada Perikatan Nasional (PN) pula menyatakan sokongan kepada BN.

Gabungan ini membentuk majoriti mudah sebanyak 19 daripada 36 kerusi DUN Negeri Sembilan. Pada masa sama, Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Aminuddin memiliki 17 kerusi.

ADUN Sikamat itu menegaskan, beliau masih memimpin kerajaan negeri sebagai kerajaan minoriti selain menyatakan telah mendapat per­kenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan untuk meneruskan tugas sebagai Menteri Besar.

Pertembungan ini mewujudkan keadaan yang kompleks dan sarat ketidaktentuan, sekali gus menimbulkan persoalan besar tentang hala tuju negeri selepas ini.

Kemelut yang berpanjangan bukan sahaja menjejaskan kestabilan pentadbiran malah boleh memberi kesan kepada keyakinan ekonomi negeri. Lebih utama, rakyat tidak seharusnya menjadi mangsa dalam ketidaktentuan ini.

Oleh itu, jalan penyelesaian yang terbaik perlu dicari. Prinsip menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak wajar dijadikan pedoman dalam merungkai kekusutan ini.

Sekiranya segala usaha menemui jalan buntu dan krisis terus berlarutan maka jalan pa­ling demokratik harus dipertimbangkan iaitu mengembalikan mandat kepada rakyat. Biarlah rakyat sendiri menentukan masa depan negeri ini melalui pilihan yang jelas dan sah.

Akhirnya, kita harus kembali menghayati bait lagu Bersama Setia itu bahawa dalam setiap kekusutan, penyelesaian mesti dicari.

Badrul Hafizan Mat Isa ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia