Debat Anwar-Najib seperti mesyuarat sekolah - Utusan Malaysia

Debat Anwar-Najib seperti mesyuarat sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Debat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Razak yang ditunggu-tunggu peminat politik berlangsung di Auditorium MATIC malam kelmarin.

Menerusi siaran langsung lebih sejam itu, sekitar 23,000 hingga 27,000 menonton siaran tersebut.

Sebelum tiba tarikh debat, ramai menjangka pertembungan Presiden PKR dan bekas Perdana Menteri itu akan ‘panas’ kerana tokoh veteran berkenaan masing-masing popular dalam arena politik tanah air sejak dulu hingga sekarang.

Dua isu utama fokus debat ialah persoalan mengenai Sapura Energy Bhd. sama ada perlu diselamatkan atau tidak dan membincangkan isu masa depan Malaysia merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara.

Namun, sepanjang debat, ramai yang bagai ‘tidak puas’ apabila perbincangan membabitkan isu yang dikemukakan berlangsung dalam suasana ‘harmoni’ sehingga ada menyamakan ia seperti ‘mesyuarat sekolah.’

Ada juga komen menghentam dengan menulis kedua-duanya tiada beza, cakap kosong, sembang kari dan Malaysia sedang menuju ke neraka.

Kesimpulan netizen berpendapat baik Anwar mahupun Najib sekadar mempersembahkan skrip sama masing-masing yang sudah diketahui menerusi media sosial dan akhbar-akhbar.

Presiden PKR berterusan membangkitkan soal integriti, rasuah, kesamarataan rakyat dan melakukan siasatan forensik ke atas kes-kes besar.

Bagi Najib yang glamour dengan gelaran Bossku pula banyak menyuarakan bahawa Malaysia memerlukan kerajaan stabil, membangunkan projek mega selain menyalurkan bantuan tunai kepada rakyat sehingga beliau sinonim dengan Cash is king.

Susulan debat yang didakwa tidak mencapai piawaian, ada yang membandingkan debat Khairy Jamaludin-Rafizi Ramli berhubung isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN) pada 2012 yang didakwa lebih hebat dan dinamik.

Khairy ketika itu Ketua Pemuda UMNO manakala Rafizi ialah Pengarah Strategik PKR.

Justeru, melihat pemimpin politik yang ramai ‘malap’ manakala rakyat terus mengeluh dengan terkini soal harga barang dan ditambah dengan pengumuman BNM menaikkan kadar OPR, Malaysia benar-benar memerlukan seorang pemimpin ‘ajaib’ yang mampu memulihkan kesusahan ini.

Menyentuh isu ini, sudah masanya ahli-ahli politik tanpa mengira parti, wajar mencermin diri masing-masing sebelum terus bercita-cita untuk menyertai PRU15 dan memimpin negara.

Renung-renunglah keberanian Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming daripada DAP yang berjiwa besar membuat keputusan ‘berehat’ daripada politik.

Kian Ming dengan jujur mengakui keputusan tersebut walaupun sukar namun perlu dilakukan. Selepas ini, beliau yang meraih kemenangan dengan 102,557 undi (65.6 peratus) pada PRU14 akan kembali semula ke profesion asal iaitu menjadi pensyarah.

Kian Ming memasang hajat untuk berkongsi pengalaman sebagai orang politik dan pernah memegang jawatan sebagai timbalan menteri dengan pelajar-pelajar muda kelak. Pengajarannya, kalau tidak mampu, lebih baik berhenti!

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya