Dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat - Utusan Malaysia

Dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WAIMA apa pun analisis politik dan kedudukan statistik ekonomi Malaysia 2023 ini, diharap ungkapan demokrasi tersohor, “dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat” terus dijulang.

Tidak kiralah dari pihak pembangkang mahupun kerajaan hari ini, masing-masing perlu pandang ke depan. Mana-mana salah laku, biar pihak mahkamah uruskan. Tempoh kira-kira dua bulan pasca pilihan raya umum ke-15 pada 19 November lalu amat mencabar untuk negara ini.

Tanpa mana-mana parti memperoleh majoriti mudah, akhirnya Yang di-Pertuan Agong merungkai dan memuktamadkan pertikaian itu menerusi perkenan pewujudan kerajaan perpaduan.

Kini rakyat ternanti-nanti apakah Bajet 2023 yang akan dibentangkan di Parlimen 24 Februari depan ada khabar menyakinkan. Tumpuan rakyat lebih teruja kepada soal periuk nasi, ekonomi perut yang disebut dalam susunan idealisme lebih tinggi dalam pentadbiran negara. Tentu sahaja kepada sesiapa pun tetap mahu melihat kebolehan kerajaan untuk mentadbir harga barang, turun naik harga minyak serta membasmi tol secara berperingkat.

Tempoh 100 hari yang kini ditempuh kerajaan perpaduan elok dielak dari meresahkan dengan menampakkan sosialisme ‘sama rasa, sama pakai dan sama kuasa’ – seolah-olah kedirajaan dan ketidakdirajaan sama sahaja.

Tidak perlu lagi muncul se­perti mana di sebuah negeri dibenarkan sistem hendak beri tanah amat lama tempoh secara mendadak berbanding dahulu kala.

Dengan kedatangan enam pilihan raya negeri dalam waktu terdekat, politik tanah air akan kembali bersambung hiruk-pikuk. Faktor terbesar merentasi pemikiran rakyat dalam merebut mandat mereka adalah persepsi.

Persepsi tidak semestinya benar dan tidak semestinya salah. Tetapi apa yang dipercayai oleh rakyat, yakni pe­ngundinya. Dengan itu isu-isu bersifat peribadi harus dijawab oleh tuan punya badan sendiri sama ada benar atau tidak sebelum dia dibantu orang lain. Jawab apa sahaja sama ada isu rasuah, skandal.

Persepsi perlu dijawab. Bukan semua persepsi salah. Cuma bagi seseorang ahli politik, naluri dalam diri seorang wakil rak­yat akan kekal sepanjang hayatnya. Ini bermakna selagi hayat dikandung badan, sebahagian dirinya tetap menjadi ahli politik.

Pemimpin yang bijak bermain perang dan menangani serangan persepsi, akan beroleh kemenangan. Buah persepsi kebiasaannya adalah ‘rekaan’, tapi sayangnya ramai termakan dengan hanya melihat kecantikan kulit luar, tanpa membelahnya melihat isi kandungan. Apabila sudah membeli, tidak boleh dimakan atau dipakai, lantas menanggung akibat bayaran harga yang mahal.

Pokoknya sekarang, ada pihak berkata, orang Melayu terutamanya tidak dapat menilai isu semasa dengan baik. Bila ada yang bercakap, “Ah, rakyat pandailah mereka menilai, itu omo­ngan sahaja. Rakyat tak tahu. Kami (orang politik) yang tahu segala.” Rumusan sebegitu sudah letih kita dengar.

Hari ini buat kerajaan perpaduan, perahu sudah di air, dayung sudah di tangan, kayuhlah dengan cermat dan hati-hati supaya selamat sampai ke seberang. Bila berjalan janganlah sentiasa mendongak ke langit. Pandanglah kerap ke bawah supaya tidak terantuk, kaki terkena akar kayu yang melintang.

Apabila sudah sampai ke seberang, jangan lupa pangkalan tempat mula berkayuh. Orang Melayu tidak mampu berpecah lagi.

Kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, teruskan usaha proaktif membangunkan negara dan rakyatnya. Di sebalik tekanan dan cabaran politik semasa yang cukup getir ‘dek Malaysia berpolitik memanjang’,

Anwar harus memastikan diri dan kerajaannya senantiasa mempertahan dan menjayakan tanpa kompromi demokrasi yang dijulang “dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat”.

 

Zulkifli Jalil adalah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya