Dari LCE ke PBS: Moga anak kita cemerlang - Utusan Malaysia

Dari LCE ke PBS: Moga anak kita cemerlang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Khamis lalu Kementerian Pendidikan melalui menterinya, Datuk Dr. Radzi Jidin mengumumkan pemansuhan ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Sebagai ganti Pen­taksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dilaksanakan yang akan melibatkan bukan sa­­haja pelajar sekolah mene­ngah iaitu Tingkatan 1, 2 dan 3 te­tapi juga bagi murid-murid sekolah rendah Tahun 4, 5 dan 6.

Walaupun sistem pendidikan ibarat sekali air bah sekali pantai berubah, namun daripada perubahan yang dilakukan ini kita harapkan yang terbaik untuk anak-anak kita.

Jika mahu dikatakan sistem yang digunakan pakai sebelum ini tidak bagus, tidak mampu melahirkan rakyat yang cemerlang rasanya tidak juga. Dari sistem yang sebelum ini itu lah yang melahirkan cerdik pandai yang ada sekarang.

Termasuk para pemimpin dan tokoh korporat hebat. Sejak merdeka hingga sekarang sudah bermacam-macam nama peperiksaan yang kita dengar. Terutama untuk murid sekolah rendah dah menengah rendah.

Dahulu untuk sekolah rendah ada penilaian darjah lima. Selepas itu diganti dengan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Matlamat kedua-duanya sama, iaitu mencari pelajar cemerlang dan berpotensi.

Untuk tingkatan tiga pula ada LCE, kemudian Sijil Rendah Pelajaran (SRP), selepas itu Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebelum diganti dengan PT3.

Setiap kali berlaku perubahan pasti ada kelam kabutnya. Lebih-lebih lagi apabila perubahan drastik seperti ini. Adakah para guru sudah benar-benar faham dan bersedia untuk sistem baru ini? Mereka perlu memahami 100 peratus polisi PBS dan mesti sanggup berubah dari pentaksiran cara lama kepada baharu.

Gagal atau berjaya pelaksanaan PBS ini bergantung kepada guru. Pegawai di kementerian, di pejabat pendidikan daerah hanya mampu mengarah. Beban untuk menjayakannya di bahu para guru.

Jika guru-guru gagal akan menyebabkan PBS tidak berjalan seperti diharapkan yang akan memberi kesan kepada penilaian tahap penguasaan pelajar. Akhirnya dibimbangi para guru akan lebih cenderung melaksanakan cara lama.

Apa yang kita harapkan langkah yang diambil oleh kementerian pendidikan ini langkah tepat untuk melahirkan generasi berkualiti.

Kadang-kadang para pemimpin kita teruja dengan sistem pendidikan Barat. Tetapi mereka lupa bilik-bilik darjah di Amerika Syarikat dan Eropah hanya ada antara 15 hingga 25 murid. Dan dalam setiap bilik darjah ada dua orang guru. Seorang untuk perancangan termasuk kerja pengkeranian dan seorang lagi fokus mengajar.

Tetapi situasi itu tidak berlaku di Malaysia. Bilik darjah kita ada sampai 40 ke 45 orang murid. Sekolah sesak adalah perkara biasa di negara kita. Diharapkan segala kekurangan ini termasuk bebanan guru diambil kira dalam pelaksanaan PBs.

Para pegawai pendidikan kena turun padang. Jangan hanya buat arahan dari bilik berhawa dingin. Yang menjadi mangsa daripada sistem yang berubah-ubah ini adalah guru dan pelajar.

 

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia.