Cukup-cukuplah nak tukar kerajaan

Cukup-cukuplah nak tukar kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan ada usaha memujuk Barisan Nasional (BN) untuk meninggalkan kerajaan perpaduan dan membentuk kerajaan baharu, ia agak mengejutkan. Dalam masa yang sama, beliau berkata, ada juga tawaran untuk membentuk jajaran baharu kerajaan perpaduan.

Selepas dua tahun kerajaan perpaduan terbentuk dan berfungsi, kewujudan gerakan-gerakan seperti itu sebenarnya meresahkan. Mengapakah masih ada yang tidak boleh menerima apa yang telah ditakdirkan.

Dalam diam, ternyata usaha untuk menjadi kerajaan dalam kalangan ahli politik tertentu tidak pernah padam. Mereka terus berusaha. Mungkin orang yang dimaksudkan itu bergerak secara individu dan tidak mewakili partinya tetapi itu bukan persoalannya.

Persoalannya ialah apakah pertukaran kerajaan akan menjadikan seluruh rakyat hidup senang? Mereka yang hendak menukar kerajaan itu sebenarnya pernah menjadi kerajaan sebelum ini.

Adakah semasa mereka memerintah dahulu rakyat hidup senang-lenang dan sekarang ini, rakyat hidup susah?

Jawapan Timbalan Perdana Menteri bahawa beliau tidak akan mengkhianati pakatan yang sudah terbentuk, melegakan sedikit. Sekurang-kurangnya, rakyat ada masa untuk berharap dan merasai perubahan yang direncanakan oleh kerajaan perpaduan.

Semalam genap dua tahun pembentukan kerajaan perpa­duan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November 2022.

Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) bersama BN serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di samping parti lain termasuk Parti Warisan Sabah membentuk pakatan yang kukuh.

Pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan sepanjang tahun kedua pentadbiran kerajaan, antaranya Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dan reformasi institusi serta pentadbiran.

Memasuki tiga tahun terakhir sebelum pilihan raya umum akan datang tentunya satu tempoh waktu yang kritikal. Dalam tempoh waktu ini, kerajaan perlu memperlihatkan keberkesanan pentadbiran mereka dan mampu menuai hasil daripada perancangan yang dibuat sejak 2022.

Namun, jika berlaku pertukaran kerajaan, yang paling rugi adalah rakyat.

Tidak dinafikan kerajaan perpaduan ini ada kelemahan tetapi itu bukan bermakna kerajaan itu perlu ditukar. Kalau pembangkang merasakan ada yang tidak betul, suarakan tetapi perlulah berasaskan data dan fakta, bukan emosi dan maklumat daripada media sosial yang tidak diketahui hujung pangkalnya.

Pembangkang perlu rajin membuat ‘kerja rumah’ sebelum membangkit satu-satu isu supaya nampak mereka terkehadapan dalam isu yang dibangkitkan. Sekarang ini, yang nampak hanya retorik dan dipengaruhi emosi serta kebencian.

Sesungguhnya, perjalanan kita masih jauh. Jangan asyik memikirkan survival sendiri sedangkan masih ada rakyat yang susah untuk menyediakan makanan kepada keluarga. Kalau tidak mahu membantu, janganlah mengganggu usaha yang sedang dilakukan kerajaan hari ini.

Cukup-cukuplah berpolitik. Cukuplah dengan situasi tiga perdana menteri dalam masa empat tahun. Negara ketinggalan jauh pada waktu itu. Sekarang masa untuk bekerja. Sampai masa pilihan raya, gerakkan strategi untuk meraih undi rakyat. – UTUSAN

Ismail Daud adalah Timbalan Pengarang Utusan/Mingguan Malaysia