Cuepacs tuntut gaji, bonus banyak sangat - Utusan Malaysia

Cuepacs tuntut gaji, bonus banyak sangat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rabu lalu, Cuepacs menuntut kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi kenaikan gaji antara 30 hingga 50 peratus kepada 1.6 juta penjawat awam.

Sekali lagi pada Khamis, Cuepacs meminta kerajaan memberi bonus sehingga satu setengah bulan kepada warga kerjanya.

Sebenarnya, tuntutan tersebut bukan pelik setiap kali hujung tahun. Bukan sahaja kakitangan kerajaan yang mengharapkan khidmat mereka dihargai tetapi seluruh warga kerja di agensi swasta turut mempunyai keinginan sama.

Warga asing pun tidak terkecuali mereka bekerja dengan matlamat sama iaitu memperoleh pendapatan setimpal dengan keringat dan kesetiaan dicurahkan.

Bagaimanapun, membaca tuntutan Cuepacs tahun ini bagaikan janggal sehingga ada yang terbeliak mata.

Manakan tidak tuntutan tersebut terlalu besar ketika kerajaan baharu Anwar masih tercari-cari mekanisme membaiki kewa­ngan negara yang kini dikatakan menanggung hutang menghampiri RM1 trilion.

Ada yang mempersoalkan hebat sangatkah mutu pekerja di agensi kerajaan sehingga ada hati membuat tuntutan banyak sebegitu.Tidak ada rungutan daripada orang ramaikah selama ini dan ketika ini?

Malah ramai berpandangan, banyak lagi penambahan baik perlu dilakukan di kebanyakan jabatan kerajaan jika mahu me­nuntut gaji sampai 30 hingga 50 peratus. Selain itu, angka 1.6 juta penjawat awam yang masih bekerja terlalu besar lebih-lebih lagi ketika negara sedang maju menggunakan teknologi yang mengurangkan tenaga secara fizikal.

Selain itu, jikalah kerajaan akur dengan kehendak Cuepacs siapa bakal menanggung implikasi kenaikan gaji sehingga 50 pera­tus dan pembayaran bonus sehingga sebulan setengah tersebut?

Sudah tentu sejumlah daripada wang untuk menggembirakan penjawat awam akan diambil daripada pembayar cukai yang bukan kakitangan kerajaan. Jika itu berlaku dikhuatiri pekerja swasta yang turut tersepit dengan kos sara hidup sangat malang kerana mereka sendiri tidak diberi bonus oleh majikan.

Tidak salah menuntut itu dan ini namun biarlah seimbang dengan keadaan semasa. Perdana Menteri sendiri mengumumkan tidak mahu menerima gaji sebagai Perdana Menteri dan gaji ahli parlimen malah beliau turut memotong gaji Menteri-Menteri Kabinet sehingga 20 peratus sebulan.

Tindakan tersebut sudah tentu disebabkan kedudukan kewa­ngan negara dalam keadaan tidak mengizinkan untuk kerajaan berbelanja besar.

Justeru, sebagai penjawat awam iaitu nadi kepada pentadbiran negara sepatutnya Cuepacs lebih cermat dalam membuat tuntutan membabitkan kewangan negara.

Lebih besar daripada itu, penjawat awam perlu bersyukur kerana walaupun dalam keadaan ekonomi suram dan kos sara hidup me­lonjak tetapi rezeki mereka tetap ada setiap hujung bulan.

Lain dengan golongan seperti penoreh getah, nelayan dan pesawah yang mana kehidupan harian mereka bergantung kepada harga, permintaan komoditi dan paling teruk dipengaruhi cuaca.

Ketahuilah ketika ini semua penoreh getah, nelayan ramai sedang ‘temenung’ memikirkan cara mana untuk memastikan rezeki sentiasa bersambung.

Bagi pekerja swasta pula kedudukan mereka bersifat bulan ke bulan dan jika tidak kena gaya hilang kerja sekelip mata bukan luar biasa kerana banyak sudah berlaku dan akan terus berlaku.

 

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya