Covid-19: Lebih banyak persoalan daripada jawapan - Utusan Malaysia

Covid-19: Lebih banyak persoalan daripada jawapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak seminggu lalu, angka kes mencatatkan rekod ba­ru saban hari. Darurat sudah dilaksanakan. Perintah “lockdown 2.0” turut diperintahkan di tujuh negeri. Apabila kes mencecah 4,000, masyarakat semakin gusar.

Klinik-klinik menyediakan ujian calitan paling sibuk. Pelanggan beratur panjang sama ada secara pandu lalu atau “walk-in”. Mereka yang tidak terdedah kini risau.

Walaupun penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan membasuh tangan sampai nipis kulit, kebanyakan penghidap tidak tahu sumber virus itu.

Alasan pihak kesihatan ia sudah berada dalam masyarakat. Kini, timbul lebih banyak persoalan daripada jawapan me­ngenai situasi semasa. Bagaimana kita sampai ke pe­ringkat 4,000 kes sehari berbanding tiga atau empat kes pada Julai lalu.

Ada mengaitkan dengan pilihan raya negeri Sabah. Ji­ka benar, kenapa tidak digantung pilihan raya itu seperti beberapa pilihan raya kecil lain. Malah Malaysia tidak akan mengadakan pilihan raya umum sehingga darurat berakhir. Boleh pula negara hidup tanpa pilihan raya.

Yang perlu dijawab adalah berapa banyak kes mem­babitkan mereka yang kembali dari Sabah. Pada satu masa, perangkaan kes Covid-19 di Semenanjung mem­babitkan sejarah perjalanan ke Sabah mencecah lebih 500 kes.

Apa angka sebenar golongan ini dan berapa ra­mai yang telah mereka sebarkan.
Jika bukan kerana pilihan raya Sabah, kenapa ber­bu­lan-bulan selepas pemilihan itu dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kenapa angka kes di negeri itu masih tinggi.

Juga berapa banyak saman dikeluarkan Kementerian Kesihatan atau penguat kuasa ketika kempen pilihan raya kerana pelanggaran SOP sedangkan saban hari ra­tusan disaman RM1,000 di Semenanjung.

Timbul pula alasan sistem kesihatan negara yang mencapai “breaking point”. Berdasarkan angka Ke­men­terian Kesihatan, terdapat 145 hospital kerajaan di negara ini termasuk Pusat Jantung.

Mengikut Statista, ada 240 hospital swasta di Malaysia. Secara keseluruhan Malaysia ada 385 hospital. Yang lebih aneh, Malaysia mempunyai lambakan doktor dan jururawat.

Persoalannya, kenapa baharu sekarang rundingan menggunakan kemudahan swasta bermula. Bagaimana kita boleh mencapai “breaking point” jika doktor sukar mendapat tempat dalam sistem kesihatan.

Jika sektor hotel boleh mengambil rakyat yang pulang untuk di­kuarantin, kenapa tiada perbincangan awal dengan hospital swasta diadakan.

Alasan kos, insurans, serta bayaran dikatakan menjadi penghalang. Bukan ke setiap graduan perubatan mengambil “Hippocratic Oath” atau ikrar etika sebagai doktor.

Setiap doktor tahu apa yang bakal dihadapi apa­bila mengambil jurusan perubatan terutama tang­gungjawab kepada pesakit. Adakah pesakit bukan ma­nusia?

Terdapat banyak persoalan yang menjurus kepada kelemahan sistem di negara ini. Ada pepatah mengatakan “keyakinan boleh menggerakkan gunung” (faith can move mountains). Cuma di Malaysia hari ini, alasannya setinggi gunung.

 

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya