Cikgu Fadli dan kisah Singapura dilanggar todak

Cikgu Fadli dan kisah Singapura dilanggar todak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBUBARAN Parlimen dan persediaan untuk memilih kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan kehangatan pendedahan mengenai apa yang berlaku di sekolah-sekolah kita oleh Cikgu Fadli nampak berjalan seiring.

Malah kemungkinan pendedahan itu bakal dijadikan antara kriteria oleh sebahagian pengundi terutama golongan pendidik dalam memilih kerajaan pada 19 November.

Seorang pembaca meninggalkan komen di facebook Utusan Malaysia mengatakan isu Cikgu Fadli mengingatkannya kepada kisah Singapura Dilanggar Todak.

Pembaca yang mengguna nama Nezzar Skog itu menulis, dalam kisah tersebut seorang kanak-kanak yang bernama Hang Nadim yang dengan bijaksana mengusulkan supaya menggunakan batang pisang sebagai benteng untuk menahan serangan ikan todak itu akhirnya dibunuh.

Ini disebabkan para pembesar istana tidak suka akan kebijaksanaan Hang Nadim lalu menghasut Sultan supaya kanak-kanak yang dikurniakan akal yang bijak itu dihapuskan kerana jika dibiarkan kemungkinan dia akan merampas kuasa apabila dewasa. Termakan dengan hasutan itu maka Hang Nadim bunuh dengan dibuang ke laut.

Sama juga dengan kes Cikgu Fadli yang membangkitkan isu yang menekan para guru dan murid sekolah yang mahu dikenakan tindakan disiplin termasuk ditamatkan perkhidmatan.

Andai kata ia tidak menjadi isu nasional dan tumpuan hingga viral di seluruh segara sudah tentu cadangan supaya Cikgu Fadli dikenakan tindakan termasuk dibuang kerja oleh pejabat pendidikan daerah akan diterima oleh kementerian.

Hairan, kenapa pihak terbabit tidak menyiasat atau melakukan penambahbaikan kepada rungutan dan cadangan guru terbabit? Sebaliknya orang yang memberi idea dikenakan tindakan? Adakah ini sistem yang diamalkan di negara kita yang kononnya menjunjung kebebasan bersuara? Tetapi guru dan rakyat disekat dengan pelbagai akta.

Ini seolah-olah kementerian atau jabatan pendidikan di Malaysia mengamalkan sistem feudal, menghukum tanpa usul periksa seperti mana kes Hang Nadim di zaman dahulu kala.

Seolah-olah orang di jabatan dan Kementerian Pendidikan mengamalkan sistem ‘kau jaga aku’ dan ‘aku jaga kau’. Jika pegawai di jabatan atau kementerian tidak buat kerja, culas, ponteng, makan gaji buta dan salah guna kuasa tidak ada masalah. Tidak perlu dihukum. Sebaliknya cikgu yang bersuara sikit diugut, dihukum dan dibuang kerja.

Isu yang dibangkitkan oleh guru matematik itu adalah suara rakyat marhaen yang tidak mampu menghantar anak belajar di sekolah antarabangsa seperti sesetengah menteri, ahli politik dan penggubal dasar pendidikan negara.

Cikgu Fadli adalah pengantara antara rakyat dan kerajaan. Masyarakat marhaen merungut dengan cikgu, dan cikgu yang berpengalaman dan berpengetahuan mengangkat perkara itu kepada pihak jabatan pendidikan.

Tetapi disebabkan penjilat, pengampu dan kaki kipas dalam jabatan dan Kementerian Pendidikan mahu menyembunyikan kebobrokan mereka, maka guru yang menjadi penyampai mesej rakyat marhaen perlu ‘dibunuh’.

Realitinya golongan pegawai di jabatan dan Kementerian Pendidikan yang seperti inilah yang menjadi perosak kepada sistem pendidikan negara.

Semoga rakyat menggunakan kuasa mereka pada PRU15 untuk menghukum mereka yang bersekongkol melindungi para perosak ini.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia