Cerdiknya yang boleh diikut! - Utusan Malaysia

Cerdiknya yang boleh diikut!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POLITIK di negara ini perlu berubah dengan mengambil semangat dan tekad memasuki tahun 2023.
Kelemahan-kelemahan lepas harus tidak diulangi. Antaranya, ‘seremeh’ lantikan politik, penasihat atau duta khas yang jelas suatu pembaziran nyata, menjengkelkan perlu segera dinoktahkan.

Politik penajaan yang mewah seperti tampak dioborkan oleh parti-parti politik sekarang harus dinilai semula. Bila kemewahan yang tampak melimpah ruah, soalan akan muncul – daripada mana datang wang itu? Bagaimana harus dipersoalkan perjuangan kesederhanaan?

Ahli-ahli politik harus diingatkan jawatan bukanlah lubuk mengaut dan mengumpul kekayaan. Harus ada keinsafan diri dalam percaturan politik. Perjuangan mesti ada harga diri dan perwatakan positif yang tampak dilihat dan dinilai rak­yat. Jika tindak tanduk seseorang lebih banyak kepada laba peribadi tingkah lakunya, pasti kelak karier politiknya sukar bertahan lama.

Kepada parti-parti berteraskan Melayu, kepimpinannya perlu menyerlahkan beberapa natijah bagi orang Melayu. Pertama-tamanya, isu-isu berkaitan bahasa, kedaulatan Raja-Raja Melayu, budaya, agama dan pendidikan perlu dijelaskan sebagai isu-isu survival bangsa.

Agihan kepentingan ekonomi sekurang-kurangnya 30 peratus harus dianggap hanya permulaan bagi Melayu dan Bumiputera. Soal lembap penguatkuasaan undang-undang harus disedari dan diterima sebagai kelemahan dan perlu diperbaiki.

Orang Melayu, apa lagi politiknya perlu terus sedar dan bersatu. Jika ada pihak memekak hal-hal cuba merubah dasar pendidikan, parti-parti Melayu mesti bersatu menempelak mereka. Mesti berani berdepan dengan mereka ini. Tidak harus lembik, takut-takut teragak-agak bila berdepan sebarang pencabulan hak asasi kaum.

Kita tidak harus berpemimpin yang visi dan misinya kabur. Kejap-kejap goyang. Jangan lupa bila pokok sudah condong, kura-kura pun naik – ular apatah lagi biawak pun ikut. Selagi tak sedar hakikat ini, selama itulah kita akan meringkuk dalam keadaan daif kuasa.

Dan bila tiba bab memilih barisan pimpinan baharu parti politik, dari AJK bahagian, pimpinan sayap sehinggalah pre­siden, pilihlah dengan kepala dingin mereka yang objektif. Bayangkan, bolehkah orang-orang yang dipilih itu berkesan sebagai pemimpin yang bertenaga memperjuangkan bangsa, agama dan negara?

Jangan pilih dengan pemikiran yang di­serabuti duit. Pemimpin yang dipilih kerana agihan wang ringgitnya tidak akan kekal, tidak akan mampu dan tidak akan berkat kerana yang dipilih ialah duitnya, bukan pimpinannya.

Politik moden biarpun hakikatnya memang kurang bersih namun jangan terlalu awal kita mengotorkannya de­ngan politik sogok untuk mendapatkan sokongan.

Lantaran kekuatannya bersandar kepada duit dan bukan sifat-sifat asas kepimpinan, jadilah seperti perumpamaan burung terbang dari genggaman, tahinya tinggal di tangan. Pandai main politik tidak semestinya pandai memimpin dan pandai mentadbir. Mesti dicari pemimpin yang bukan sahaja pandai membuat percaturan politik atau percaturan siasah, tetapi harus cari dan dapatkan pemimpin yang bersifat elok dan bijak.

Sama-samalah kita berdoa di tahun 2023 dan seterusnya politik Malaysia menuju aras tinggi dan tampak berwibawa. Cerdiknya yang boleh diikut.

 

Zulkifli Jalil adalah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya