Capai SSL atasi isu import makanan negara - Utusan Malaysia

Capai SSL atasi isu import makanan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jumlah nilai makanan import negara pada 2020 mencecah RM55.4 bilion. Pada 2015 nilai importnya adalah RM45.13 bilion. Angka ini adalah jumlah yang besar. Dalam tempoh lima tahun ia menunjukkan peningkatan kira-kira 22 peratus.

Beberapa bahan makanan yang bergantung kepada import bagi kegunaan domestik termasuklah daging lembu, beras, sayur-sayuran dan buah-buahan beriklim sederhana seperti kubis, bawang, epal, oren.

Pada 2020, Jabatan Perangkaan mencatatkan negara terpaksa mengimport daging dengan nilai RM2.2 bilion. Sebab­nya, tahap sara diri (SSL) daging lembu masih rendah iaitu sekitar 22 peratus. Jauh daripada sasaran sehingga 50 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang. Itu mengikut Dasar Agromakanan Negara 2.0 yang dilancarkan awal tahun 2022.

Namun, mengimport daging pula mengundang isu seperti keraguan tentang status halal rumah sembelihan sebagaimana laporan Utusan Malaysia sejak beberapa minggu lalu.

Terkini, laporan akhbar ini semalam menceritakan saksi iaitu bekas pekerja yang juga sumber utama rumah penyem­belihan di Australia itu membuat pengakuan dan menceritakan hal sebenar.

Mengikut apa yang diceritakan oleh beliau yang dikenali sebagai Abdullah, kambing-kambing di situ dilemaskan dalam darah binatang yang disembelih. Maknanya, haiwan tersebut bukan mati kerana disembelih sebaliknya mati kerana lemas dalam darah.

Kalau begitu keadaannya, tidak mustahil ramai penggemar kambing di Malaysia sudah termakan bangkai.

Bab halal haram makanan adalah amat sensitif bagi umat Islam. Lebih-lebih lagi sudah sekian lama kita mengimport daging lembu dan kambing dari Australia. Tidak dinafikan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diiktiraf peringkat antarabangsa.

Malah, banyak negara yang mahukan logo halal Jakim kerana kalau memilikinya, ibarat produk mereka boleh dipasarkan kepada umat Islam seluruh dunia.

Oleh sebab kita banyak mengimport daging, kebimbangan tentang tidak amanahnya operator terlibat tidak boleh dinafikan. Sebab itu, negara mesti mengambil langkah segera memajukan sektor penternakan dan pertanian negara.

Jika negara capai sasaran SSL, urusan memantau kepatuhan sijil halal lebih mudah dilakukan. Selain itu, negara juga dapat menjimatkan nilai tukaran wang asing. Lebih-lebih lagi dalam situasi kejatuhan ringgit yang mencatat 4.38 berbanding dolar sekarang.

Janganlah ada hendaknya pegawai-pegawai yang diamanahkan untuk mengawasi dan memantau aspek sembelihan atau memudah cara serta membangunkan sektor ternakan ruminan mengkhianati amanah tersebut.

Ingatlah, bab halal ini bukan sahaja melibatkan makan minum tetapi juga rezeki atau gaji yang dibayar kepada pegawai terlibat untuk memastikan semuanya halal bak slogan Jakim, halal from farm to fork.

 

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya