Buruh kanak-kanak, dilema akta lapuk - Utusan Malaysia

Buruh kanak-kanak, dilema akta lapuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DULU melihat kanak-kanak bekerja membantu ibu bapa mengutip susu getah atau membajak sawah padi di kampung pada cuti panjang sekolah dan hujung minggu adalah lumrah.

Tiada sesiapa pun yang membantah ketika itu kerana ia dianggap sebahagian tuntutan kehidupan. Namun, jika sekarang seorang kanak-kanak membantu ibunya walau menjual nasi lemak sekalipun menyalahi undang-undang kerana dianggap mengeksploitasi golongan itu.

Di Malaysia, kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001.

Dasar Perlindungan Kanak-kanak Negara antaranya menggariskan perkataan eksploitasi yang merujuk kepada penggunaan kanak-kanak dalam aktiviti yang membolehkan pihak lain mendapat faedah dari segi kewangan, seksual, politik serta kepentingan lain yang boleh mengancam kesejahteraan fizikal dan psikologikal mahupun kelangsungan hidup kanak-kanak.

Apakah definisi ini terikat kepada istilah membantu keluarga mencari pendapatan dibaca sebagai mengeksploitasi mereka? Kecelaruan ini perlu dirungkai bagi mencari pentakrifan sempadan yang membolehkan atau sebaliknya. Menjadi kesalahan atau tidak?

Malaysia mempunyai tiga akta berkaitan kanak-kanak dan pekerjaan yang membolehkan kanak-kanak seusia 15 tahun bekerja.

Akta Pendidikan 1996, Akta Pekerja 1955 dan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan 1966 membenarkan golongan itu bekerja pada usia terlalu muda sekali gus menyekat mereka daripada mendapat pendidikan lebih tinggi yang sebenarnya menjamin masa depan.

Akta Pendidikan 1996 hanya mewajibkan kanak-kanak belajar sehingga sekolah rendah manakala Akta Pekerja 1955 dan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1955 pula menetapkan had usia boleh bekerja seawal 15 tahun.

Walaupun tiada data rasmi tentang kanak-kanak di bawah usia 15 tahun yang bekerja tetapi mengikut Laporan Survei Tenaga Buruh Malaysia 2021 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat 717,600 remaja berusia antara 15-19 tahun yang bekerja.

Malah, kaji selidik Jabatan Perangkaan turut mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu menyambung pelajaran, sebaliknya memilih memasuki pasaran kerja. Selebihnya seramai 170,000 sahaja meneruskan pe­ngajian.

Selain faktor kemiskinan, mereka memasuki pasaran kerja kerana tidak mahu melepaskan peluang mencari pekerjaan menerusi platform gig, terpengaruh menjadi pempengaruh di media sosial dan beranggapan belajar tinggi bukan jaminan mendapat pekerjaan lebih baik.

Oleh sebab itu pertindihan akta yang melindungi kanak-kanak dan membenarkan mereka bekerja seawal usia 15 tahun agak mengelirukan apabila bertembung dengan akta 2001.

Seperti yang dilontarkan Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Noor Aziah Mohd. Awal, undang-undang yang sedia ada tidak relevan dengan perkembangan semasa kerana tidak boleh mentakrifkan sempadan penglibatan kanak-kanak sebagai pempengaruh.

Justeru, fungsi akta dan melihat kesesuaiannya penting selaras dengan Konvensyen Mengenai Kanak-Kanak (CRC) dan Akta Kanak-Kanak 2001 yang menekankan prinsip perlindungan demi kepentingan terbaik golongan berkenaan.

Mungkin sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai buruh kanak-kanak bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam arus pendidikan negara dan mengelak negara dibebani lambakan generasi tidak berkualiti.

 

Meor Harman Meor Shakri ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.