Bukan semua syarikat bertaraf GLC, GLIC

Bukan semua syarikat bertaraf GLC, GLIC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JUMAAT lalu adalah Hari Pekerja yang sambutannya disambut secara besar-besaran di Bukit Jalil. Para penerima anugerah juga bukan calang-calang, bukan orang biasa-biasa. Ini kerana petani, pesawah, pekebun, penoreh, pengait sawit, nelayan, tukang angkut sampah, tukang cuci, mana mungkin ada bakti sebesar itu.

Seperti biasa pada setiap sambutan Hari Pekerja, pasti ada seruan-seruan supaya majikan berlaku adil, pastikan kebajikan tidak diabai, pekerja adalah aset bukannya kuli dan kongsi keuntungan dengan kakitangan.

Bagi syarikat-syarikat yang berjaya sama ada kecil atau besar jarang sangat yang tidak jaga pekerja atau berkemut dengan kakitangan mereka.

Semuanya bergantung kepada faktor kewangan yang sudah tentu terkait dengan ekosistem ekonomi negara. Di negara kita, syarikat yang boleh dijamin sentiasa untung saban tahun hanya syarikat yang berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC). Mereka sentiasa ada kelebihan termasuk yang bersifat monopoli, tidak perlu bersaing.

Lain-lain syarikat semuanya bergantung kepada turun naik ekonomi. Syarikat pengangkutan sama ada darat, laut mahupun udara, sekarang ini terjejas teruk dise­babkan kenaikan kos bahan api.

Apabila sektor pengangkutan mengalami kenaikan kos, sudah tentu akan memberi kesan kepada sektor lain kerana ia saling bergantung.

Seruan kerajaan supaya majikan berbuat baik kepada pekerja tidak ada siapa boleh nafikan. Tanpa pekerja tidak ada syarikat dan produk tidak boleh dikeluarkan. Tetapi, dalam operasi sebuah syarikat ada turun naik, susah senang dan untung ruginya.

Apabila berlaku krisis seperti di Asia Barat sekarang ini banyak syarikat kecil terjejas. Ada yang terpaksa merehatkan jentera buat seketika disebabkan kos operasi mengatasi pendapatan.

Malah ada syarikat yang terjejas ketika pandemik Covid-19 dahulu hingga kini belum pulih sepenuhnya dan sekarang berhadapan pula dengan satu lagi krisis ekonomi.

Itu adalah adat dalam berniaga. Langit tidak selalu cerah. Badai boleh melanda pada bila masa-masa.

Untuk menghadapi ini mereka memerlukan ekosistem ekonomi yang kondusif yang mampu memberi sokongan ketika susah termasuk dasar-dasar kerajaan yang telus dan mudah serta bebas daripada halangan birokrasi. Tidak guna diumumkan polisi yang hebat-hebat hanya nampak gah atas kertas tetapi pelaksana­annya tidak sampai kepada kumpulan sasar.

Sebab itu penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya semua dasar yang diumumkan pada Jumaat lalu mesti dilaporkan dalam masa dua minggu, dan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet dalam masa tiga minggu adalah wajar. Ia supaya para pembuat dasar ini tidak dibuai keselesaan hingga lupa untuk percepatkan urusan berkaitan masalah rakyat.

Mereka kena ingat majoriti syarikat yang menggaji sebahagian besar pekerja di negara ini bukannya bertaraf GLC atau GLIC. Jadi jangan menilai mereka menggunakan kayu ukur GLC dan GLIC ini.

Kerana bagi industri kecil seperti IKS dan PMKS kita yang mengupah majoriti pekerja di negara ini, mereka memerlukan sokongan dasar yang cekap dan berkesan supaya dapat bertahan dalam situasi badai ekonomi sekarang. – UTUSAN

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia