Bukan semua boleh pandu malam

Bukan semua boleh pandu malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai sedih dengan nahas ngeri bas persiaran di Jalan Raya Timur Barat dekat Gerik awal pagi kelmarin yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Belum reda kesedihan dan kekesalan dengan kejadian itu, sebuah bas ekspres yang membawa 28 penum­pang dengan sebahagiannya adalah pelajar Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah (UMPSA) pula terbabit dengan kemalangan apabila terlanggar belakang sebuah lori di Maran.

Kejadian itu juga berlaku kira-kira pukul 1 pagi, hampir sama waktunya dengan nahas di Gerik itu.

Seperti bermusim pula kemalangan bas yang membawa pelajar universiti berlaku. Mungkin kerana ketika ini ramai pelajar yang mahu pulang ke kampus selepas menghabiskan cuti bersama keluarga sempena Aidiladha Sabtu lalu.

Sepatutnya apabila berlaku nahas ngeri yang menjadi perhatian ramai tidak kiralah ramai atau tidak nyawa yang terkorban, semua pihak terutama pemandu ken­deraan awam mesti lebih berhati-hati apabila menjalankan tugas mereka.

Lebih-lebih lagi mereka yang akan memandu untuk perjalanan jauh dan tengah malam hingga membawa ke awal pagi.

Ini kerana itulah masanya yang akan menguji kekuatan fizikal dan mental mereka apabila memandu.

Aspek ini perlu diberi perhatian oleh pemandu dan pemilik bas kerana tiada gunanya jika bas baharu dibeli dengan pemanduan lebih selesa dan mematuhi segala peraturan jalan raya, jalan raya yang lebih baik tetapi pemandunya berada dalam keadaan letih dan mengantuk.

Setiap pemandu perlu dipastikan sihat untuk memandu oleh penyelia mereka dan pemandu sendiri perlu peka terhadap keadaan kesihatan mereka dan mendapat rehat yang secukupnya pada sebelah siang.

Menaiki bas malam mungkin digemari sesetengah penumpang kerana mereka boleh tidur sepanjang perjalanan dan banyak masa siang dapat digunakan untuk tujuan lain.

Namun ia sebenarnya mendedahkan mereka kepada risiko kemalangan terutama jika dipandu oleh pemandu yang tidak bersedia daripada segi fizikal untuk mengendalikan kenderaan itu.

Dalam dua kemalangan terbaharu semalam dan kelmarin, ia seperti menunjukkan ada masalah pada pemandu apabila tidak bersedia berhadapan dengan risiko kemalangan di hadapan mereka.

Kecuaian pemandu dengan membawa laju bas di laluan berisiko dan gagal mengesan pergerakan kenderaan di hadapan mereka sebenarnya hanya akan membawa padah kepada semua yang berada di dalam kenderaan itu.

Betul, laluan terlibat tidak cukup besar, gelap dan penghadang jalan yang dikatakan tidak sesuai untuk menahan kenderaan terbabas tetapi kenapa berpuluh ribu kenderaan lain boleh melaluinya dengan selamat.

Kenapa bas yang membawa ramai penumpang perlu dibawa dengan laju, apa yang mahu dikejar oleh pemandu?.

Undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk dikenakan terhadap pemandu yang cuai hingga menyebabkan kematian.

Tetapi mereka yang terkorban dalam nahas tidak dapat dikembalikan, yang tinggal hanya kesedihan dan kerugian kepada negara.

Muhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia