Bukan masa Malaysia bersilih ganti PM - Utusan Malaysia

Bukan masa Malaysia bersilih ganti PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Malam kelmarin ramai berdebar menunggu apa kesudahan desas-desus Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Laporan pengamal media, blogger secara siaran langsung, bertulis dan mesej-mesej bertali arus membuatkan ramai lewat tidur semata-mata menunggu kebenaran spekulasi tersebut.

Namun khabar angin tersebut nampaknya sekadar khabar angin kerana tidak ada apa yang berlaku.

Sehingga malam tadi, Muhyiddin masih lagi Perdana Menteri dan beliau serta Jemaah Kabinet bermesyuarat menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu kerajaan sedia ada terus menjaga rakyat dan memerangi Covid-19.

Dalam titah sama, Agong mengingatkan ahli politik menghentikan segera segala aktiviti politik yang menggangu kestabilan kerajaan sedia ada.

Jika dihayati titah tersebut, Muhyiddin tidak disuruh meletak jawatan sebaliknya diberi peringatan terus melindungi rakyat. Jika benar Muhyiddin sebelum itu ada hati untuk mengundur diri, ia boleh diibaratkan seperti ‘menderhaka’ titah Seri Paduka.

Namun sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin mungkin berasa ‘hilang maruah’ selepas cadangan mengisytiharkan darurat tidak diperkenan. Dalam keadaan biasa Agong sepatutnya mendengar nasihat Perdana Menteri.

Agong menerusi Majlis Raja-Raja memaklumkan tiada keperluan mengisytiharkan darurat kerana tindakan tersebut boleh memburukkan imej negara di mata antarabangsa dan mengundang lebih sengsara rakyat.
Sebagai ketua pentadbiran, Muhyiddin tidak boleh ‘beremosi’ sehingga mahu menyerah kalah.

Pertimbangan beliau perlu dibuat dalam kerangka negara dan bukan untuk diri sendiri.
Maklumlah, kegawatan politik ketika ini berlaku kerana beberapa orang bercita-cita menjadi Perdana Menteri. Ketika wabak ‘mengganas’ sengketa berebut jawatan perlu dielakkan dan itu yang dikehendaki Agong.

Saat ini bukan masa Malaysia bersilih ganti Perdana Menteri sebaliknya semua ahli politik kena bersatu hati melindungi rakyat yang semakin hari semakin ‘takut’ dengan Covid-19 dan masalah ekonomi.

Bagaimanapun, melihat perkembangan semasa, sukar dibaca ‘gerakan’ politik antara parti yang dikhuatiri ‘tenang’ di permukaan tetapi `bergelora’ di dasar. Sama-samalah kita berdoa agar titah Agong dijadikan pendoman oleh semua pemimpin politik.

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya