Bukan kaleng-kaleng nama Harimau Malaya... - Utusan Malaysia

Bukan kaleng-kaleng nama Harimau Malaya…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARIMAU Malaya mesti se gah namanya.

Gelaran Harimau Malaya asalnya merujuk kepada penyerang kebangsaan era 1940-an hingga 1950-an, Allahyarham Dollah Don (Abdullah Mohd. Don). Gelaran ini diberi padanya oleh Presiden Indonesia Sukarno selepas menyaksikan kehebatannya dalam satu perlawanan pada 1953.

Bukan kaleng-kaleng nama ini kalau tak mampu membawanya. Malu sahaja diperbudakkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sampai 4-0, Jumaat lalu.

Sudah disedia ruang di muka depan akhbar ini untuk siaran Sabtu lead story: “Harimau Malaya benam UAE”. Tapi hasrat tidak kesampaian. Letak back page cukuplah.

Bukankah setiap pemain dibayar gaji untuk pastikan kemenangan? Anda sama seperti orang lain yang bekerja makan gaji. Tapi malangnya menghabiskan beras sahaja.

Jom sebentar kita ke zaman 1970-an dan awal 1980-an. Masih tergiang-giang hingga sekarang bila arwah Zukarnain Hassan mengulas pertemuan Malaysia-Korea Selatan pada 4 April 1980, sekali gus menyaksikan Malaysia layak Sukan Olimpik Moscow.

“…dapat kepada Hasan (Sani), masih lagi Hasan, cucuk Hasan, kembali James (Wong), peluang untuk James! James! Gol!!’”. Bukan sahaja gegak gempita Stadium Merdeka tika itu, bergegar jugalah rumah-rumah yang ada tv hitam putih selain radio.

Nama-nama pemain Malaysia begitu mudah diingati rakyat negara ini kerana sohornya mereka. R. Arumugam, Jamal Nasir, Soh Chin Aun, Santokh Singh, Kamaruddin Abdullah, Bakri Ibni, Shukor Salleh, Khalid Ali, Abdullah Ali, Abdah Alif selain Hasan dan James sendiri. Juga pemain era tahun 70-an, Ali Bakar, Isa Bakar, Shaharuddin Abdullah, Namat Abdullah dan K. Rajagopal.

Sikap enggan mengalah, semangat kuat bersaing sela­in kapten pasukan Chin Aun atau gelarannya taukeh bijak mengarah dan punya sifat individu yang menonjol, mencetuskan keterujaan peminat waktu itu – lawan Malaysia pasti terkulai.

Bila Malaysia bertemu Singapura yang berkaptenkan Samad Allapitchay yang diberi julukan “The Rock of Gilbratar” awal 80-an pasti berlangsung tegang.

“Stadium Merdeka dah mula hujan ni, habislah Singapura,” kata pakcik Zali, jiran saya di Jalan Klang Lama masa itu, yang berakhir 90 minit perlawanan Singapura tewas. Bisa pasukan Malaysia lagi berbahaya bila bermain dalam hujan. Dan `bomoh hujan’ kerap bersidai di stadium.

Begitu secebis kisah betapa kagumnya masyarakat berbilang kaum kepada pasukan bola kita zaman 70-an dan awal 80-an. Ada Khan Hung Meng, Wong Hung Nung, Peter Rajah dan Ong Yu Tiang, dengan segala jiwa raga semangat juang kental diberikan kepada negara.

Tiada glamor-glamor macam hari ini. Jual beli pemain bukan keutamaan. Jika main dengan pasukan negeri macam hendak pergi perang, main dalam team negara lagi dahsyat. Suatu perhormatan tidak ternilai dengan misi untuk menang.

Sabtu ini Malaysia jumpa Vietnam dan 16 Jun bertemu Thailand. Walaupun tampak tidak ada harapan, buktikan tanggapan ini salah.
Kami rakyat Malaysia mahu dengar khabar gembira dan ceria sahaja di musim pandemik Covid-19 ini. Ayuh Harimau Malaya kita pulun Vietnam dan Thailand. Kembalikan aura Harimau Malaya 1980.

 

Zulkifli Jalil ialah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya