Bukan isu budak sekolah, rakyat mahu lihat YB mereka

Bukan isu budak sekolah, rakyat mahu lihat YB mereka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai ahli Parlimen tidak puas hati apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat bercadang meletakkan nama wakil rakyat yang tidak hadir sidang dewan dalam laman web Parlimen.

Ahli Parlimen bukan budak sekolah kata mereka. Betul, mereka bukan seperti pelajar yang  suka ponteng sekolah. Mereka ialah Yang Berhormat. Mereka dipilih oleh rakyat untuk berada di Parlimen.

Lagi pun kata mereka, ahli Parlimen bukan ponteng sidang dewan tetapi mempunyai program atau urusan lain pada waktu sidang Dewan Rakyat berjalan. Memang tidak menang tangan kalau semua perkara mereka perlu uruskan.

Boleh dikatakan menjadi ahli Parlimen memang sibuk, banyak urusan negara perlu ditangani dan pada masa sama terpaksa juga menjaga kebajikan pengundi terutama di kawasan Parlimen mereka.

Memang tidak dinafikan yang berada dalam Kabinet perlu menjalankan tugas-tugas kementerian, yang pembangkang pun ada tanggungjawab terhadap rakyat di kawasan mereka dan pada masa yang sama juga jawatankuasa Parlimen turut mengadakan mesyuarat.

Hampir kesemuanya berjalan serentak. Mana mungkin mereka boleh melakukannya dalam satu masa serentak. Sebab itulah tabik kepada mereka yang proaktif dan boleh terlibat sehingga empat lima program dalam sehari walaupun terpaksa `ponteng’ sidang dewan.

Mereka yang aktif boleh dikenali apabila program atau kenyataan mereka dilaporkan oleh media, aktif mengemukakan soalan atau mencelah ketika wakil kerajaan atau blok pembangkang berhujah dan juga mengambil bahagian dalam perdebatan atau perbahasan.

Yang menjadi masalahnya daripada 222 ahli Parlimen yang ada, hanya berapa kerat dilihat begitu sibuk membuat kerja dan aktif dalam dewan.

Jangan terkejut jika ada rakyat yang tidak mengenali ahli Parlimen termasuk pengundi di kawasan mereka sendiri. Jangan fikir menang pilihan raya bermakna mereka popular. Ini kerana ada pengundi yang memilih kerana parti bukan calon.

Lebih malang sudahlah tidak popular, culas pula menghadiri sidang dewan.

Sebab itulah Tan Sri Johari Abdul kecewa dengan ahli Parlimen yang ponteng terlibat dan mahu nama mereka dipaparkan dalam laman web supaya rakyat tahu siapa wakil mereka di Parlimen.  Sebelum itu juga beliau bercadang mahu memotong elaun wakil rakyat yang tidak menghadiri sidang dewan.

Kedua-dua langkah itu perlu dilakukan kerana menjadi ahli Parlimen bukan percuma. Setiap perkara yang mereka lakukan malah pergerakan mereka ke tempat tugasan juga semua ditanggung oleh kerajaan. – UTUSAN

  • Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia