DI era media sosial hari ini, hampir setiap orang membawa sebuah ‘stesen penyiaran’ di dalam poket masing-masing. Dengan hanya beberapa saat, sesuatu kejadian yang berlaku di tempat awam boleh dirakam, dimuat naik dan ditonton ribuan, malah jutaan pengguna internet.
Jika dahulu orang ramai mungkin sekadar memerhati atau menegur apabila melihat sesuatu perbuatan yang tidak sesuai, kini reaksi pertama yang sering berlaku ialah mengeluarkan telefon bimbit dan menekan butang rakam.
Fenomena ini semakin membimbangkan apabila melibatkan individu bawah umur. Baru-baru ini, tular di media sosial rakaman video yang menunjukkan sepasang remaja dipercayai sedang bercumbu dan berkelakuan tidak sopan di dalam pengangkutan awam. Rakaman tersebut dikongsi secara meluas dengan alasan untuk menyedarkan masyarakat tentang keruntuhan akhlak generasi muda.
Tidak dinafikan, perbuatan remaja itu sememangnya tidak wajar. Tingkah laku yang melampaui batas di tempat awam bukan sahaja bertentangan norma masyarakat timur, malah boleh menimbulkan rasa tidak selesa kepada pengguna lain.
Namun, persoalan lebih besar adakah tindakan merakam dan menyebarkan wajah merupakan cara terbaik mendidik?
Dalam keghairahan mengejar kandungan tular, ramai terlupa bahawa individu yang dirakam itu ada maruah, keluarga dan masa depan. Apatah lagi mereka masih berstatus pelajar sekolah atau bawah umur. Kesilapan yang dilakukan dalam beberapa minit boleh menjadi ‘hukuman digital’ yang menghantui mereka selama bertahun-tahun.
Dalam kes tertentu, identiti individu yang berjaya dikesan netizen menyebabkan mereka menjadi mangsa buli siber berpanjangan.
Ramai yang mempertahankan tindakan memuat naik video sebegitu atas alasan kepentingan awam atau sebagai pengajaran kepada masyarakat. Namun, garis pemisah antara menegur dan mengaibkan seseorang semakin kabur.
Menegur bertujuan membetulkan kesilapan, manakala mengaibkan pula menjadikan kesalahan seseorang sebagai tontonan umum.
Dari sudut perundangan, Malaysia masih belum mempunyai undang-undang khusus yang secara menyeluruh melarang rakaman individu di tempat awam. Namun, penyebaran rakaman tersebut boleh menimbulkan isu perundangan bergantung kepada konteks dan kesannya.
Dalam keadaan tertentu, penyebaran gambar atau video yang menimbulkan gangguan, ancaman atau eksploitasi terhadap individu, terutama kanak-kanak dan remaja, juga boleh menarik perhatian pihak berkuasa.
Budaya merakam dan memviralkan segala-galanya mewujudkan masyarakat yang semakin gemar menghukum berbanding mendidik. Ruang komen sering berubah menjadi ‘mahkamah internet’ di mana hukuman dijatuhkan tanpa siasatan, tanpa mempertahankan diri dan tanpa mengambil kira usia individu yang terlibat.
Normalisasi budaya ini boleh menyebabkan masyarakat hilang rasa empati. Kesilapan seseorang tidak lagi dilihat sebagai peluang untuk dibetulkan, tetapi sebagai kandungan yang mampu meraih tontonan, tanda suka dan perkongsian.
Dalam dunia digital yang serba pantas ini, kebijaksanaan bukan terletak pada kemampuan merakam setiap kesilapan orang lain, tetapi pada kemampuan membezakan antara tanggungjawab sosial dan kecenderungan untuk mengaibkan. – UTUSAN
Maisarah Sheikh Rahim ialah Pemangku Pengarang Berita Utusan Malaysia
Budaya viral: Menegur atau mengaibkan?

Media Mulia TV
Copyright © 2025 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H). All Rights Reserved