Buang yang keruh ambil yang jernih

Buang yang keruh ambil yang jernih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari ini ketua-ketua parti politik dijangka berjumpa di Putrajaya bagi memeterai satu perjanjian yang intipatinya adalah menyokong pentadbiran kerajaan perpaduan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia diadakan menjelang Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Majlis Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat yang akan berlangsung dua hari mulai Isnin ini dengan agenda utamanya adalah pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, angkat sumpah 222 ahli Parlimen dan pembentangan usul undi percaya kepada Perdana Menteri.

Usul tersebut akhirnya nanti mengabsahkan Anwar mendapat sokongan majoriti dalam kalangan ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Walaupun Anwar dilihat sudah berada dalam zon selesa kerana  beliau dikatakan sudah mendapat sokongan lebih dua pertiga Ahli Dewan, perjumpaan hari ini sudah pasti akan melancarkan lagi perjalanan sidang Dewan Rakyat, Isnin ini sekali gus melengkapkan sokongan terhadap Perdana Menteri.

Jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu adalah masa untuk rakyat memilih parti yang mereka mahu mentadbir negara ini tetapi berakhir dengan keputusan Parlimen tergantung kerana tiada satu parti yang mendapat majoriti mudah 112 kerusi bagi membentuk kerajaan, kini masa untuk 222 ahli Parlimen pula membuat keputusan yang betul demi masa depan negara.

Dengan masalah ekonomi tidak menentu tahun depan, kemelut politik berterusan dari 2018, sekarang bukan masa lagi untuk terus berpolitik sehingga bertukar sekali lagi kerajaan atau Perdana Menteri.

Semua parti yang bertanding dalam PRU15 mahukan kestabilan dan kinilah masanya untuk semua pihak bersama-sama membina negara semula.

Ini bukan soal Anwar boleh atau tidak menjadi Perdana Menteri, tetapi beliau yang kini berada dalam kedudukan untuk mengetuai kerajaan. Beliau perlu disokong ke arah mewujudkan negara yang stabil dan kembali ke zaman kegemilangannya.

Anwar juga sedar beliau bukan maksum atau hebat dalam mengetuai negara, tetapi dengan sokongan semua pihak serta kurangnya isu-isu politik remeh, matlamat itu boleh dicapai.

Perjanjian sokongan terhadap kerajaan serta undi percaya kepada Perdana Menteri juga diharapkan jangan sampai ke tahap menafikan kehadiran wakil pembangkang di Parlimen. Cumanya negara memerlukan pembangkang yang matang dan konstruktif.

Kemelut politik jika dibiarkan tidak akan ada akhirnya. Prinsip dan perjuangan politik parti juga tidak kekal selamanya. Ia berubah mengikut keadaan. Sebaiknya buang yang keruh, ambil yang jernih. – UTUSAN

  • Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya