kebocoran data peribadi

Bocor sudah, dakwa belum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penipuan dan kebocoran data peribadi semakin menjadi ancaman dalam ruang siber terutama membabitkan kelompok masyarakat yang kurang terdedah dengan selok-belok dunia teknologi maklumat dan modus operandi sindiket penipuan.

Baru-baru ini, dilaporkan sejumlah 22 juta data peribadi rakyat Malaysia berusia 18 hingga 82 tahun yang berada dalam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) didakwa dijual dengan harga AS$10,000 (RM44,200) di forum pasaran pangkalan data.

Penjualnya mendakwa data peribadi itu termasuk nama, nombor kad pengenalan, alamat dan gambar dengan data daripada laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut dijual.

Sebelum daripada itu, ada juga laporan yang menyatakan empat juta data rakyat Malaysia boleh dibeli di internet.

Setakat ini, kita tidak tahu sama ada data itu benar-benar dari pangkalan data JPN atau SPR atau hanya data daripada pihak lain seperti syarikat telekomunikasi. Yang pasti kerajaan menafikan ada kebocoran data.

Kebocoran data peribadi ini tentu ada kaitan dengan pelbagai penipuan terutama oleh scammer. Di sebalik banyaknya peringatan oleh pihak berkuasa dan laporan media terhadap kegiatan itu, kes penipuan yang dilaporkan masih tinggi.

Paling memilukan, jumlah kerugian bukannya ratusan ringgit tetapi mencecah ratusan ribu.

Ada yang kata, kebocoran data peribadi di era internet ini adalah perkara biasa kerana hampir semua urusan harian kita memerlukan kita memberikan data peribadi kepada pihak lain, selain kita sendiri mendedahkannya di media sosial. Kalau tak mahu data bocor, sila duduk dalam hutan, kata mereka.

Justeru, sikap berhati-hati sangat penting dalam isu ini. Semua jenayah ini berkisar soal duit. Mereka mahu duit kita. Ada yang mengumpan dengan menawarkan wang kepada kita dahulu, kononnya menerusi kerja sambilan atau pelaburan.

Malah, nama rakan-rakan dan ahli keluarga sendiri pun sekarang ini digunakan untuk menipu. Itulah hebatnya bahana kebocoran data. Orang yang rapat di sekeliling kita pun mereka kenal.

Dalam isu ini, mengenal secara umum cara penjenayah ini beroperasi sangat penting. Antara yang sering digunakan ialah kita didesak supaya buat keputusan segera kononnya bagi mengelak dikenakan tindakan dan meminta wang pendahuluan.

Jangan terus percaya. Semak dengan pihak berwajib. Beri alasan dan minta masa untuk berfikir. Ini akan menyebabkan mereka mati langkah. Warga emas pula perlu diberikan pendedahan dan penerangan.

Dalam masa yang sama, kerajaan juga perlu bertindak proaktif memastikan data peribadi rakyat selamat sepanjang masa. Jangan hanya menafikan sahaja. Tindakan menutup laman web terlibat seperti yang dilakukan kerajaan pada Ahad lalu wajar dipuji.

Akta Perlindungan Data Peribadi sudah ada tetapi perlu sentiasa ditambah baik. Paling utama ia perlu dilihat dikuatkuasakan kerana belum terlihat ia dilakukan. – UTUSAN

  • Ismail Daud ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia