Bina laluan berbasikal, pejalan kaki - Utusan Malaysia

Bina laluan berbasikal, pejalan kaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMINGGU ini heboh pasal betulkah basikal wajib dilesenkan. Ramai bercelaru dan tidak kurang pula yang jadikan isu tersebut sebagai modal bahan lawak.

Pemilik basikal dalam kalangan individu berada mungkin senyum sinis saat bertebaran polemik tersebut. Apa mereka kisah, perkara kecil bisa dibereskan.

Namun bagi yang masih menggunakan basikal untuk mencari rezeki, anak-anak ulang-alik sekolah mereka mungkin terganggu dengan idea Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) yang mengkaji kemungkinan mewajibkan lesen pada basikal.

Bukan itu sahaja, ramai juga yang tertanya-tanya, adakah selepas ini mereka tidak lagi dibenar berbasikal di jalan raya. Jika tidak boleh, apa pilihan mereka?

Sebenarnya, polemik basikal yang tercetus mencerminkan bentuk infrastruktur Malaysia. Sistem laluan negara ini tidak nampak keperluan rakyatnya untuk menunggang basikal. Begitu juga laluan pejalan kaki yang bukan keutamaan.

Situasi tersebut menyebabkan semua orang perlu memandu kereta atau menunggang motosikal untuk ke kedai yang jaraknya mungkin tidak sampai 500 meter dari rumah.

Agak pelik dan bahaya jika ada yang berjalan kaki di tepi jalan yang sibuk dengan kenderaan. Bahaya juga mungkin boleh disebabkan anda disamun, diculik dan paling dikhuatiri dilanggar.

Justeru, isu dikaitkan dengan basikal ini hanya memerlukan kemudahan infrastruktur laluan bagi pengayuhnya. Cadangan mengenakan lesen bukan mendesak sebaliknya remeh selain menyusahkan golongan yang sedia susah.

Demi keselamatan penunggang basikal dan pejalan kaki, kerajaan disaran membina laluan khas. Laluan tersebut secara tidak langsung membudayakan rakyat gemar berjalan demi kesihatan mereka.

Di sini, MIROS boleh memainkan peranannya melaksanakan kajian bagi mencapai cadangan tersebut. Cadangan melesenkan basikal kerana ingin meniru peraturan negara luar bukan idea positif.

Kerajaan pimpinanTan Sri Muhyiddin Yassin pada awal pentadbirannya menggesa semua agensi kerajaan memudahkan urusan rakyat dan bukan menambah susahkan masalah mereka.

Ketika ini Covid-19 juga belum pulih tetapi mulai bulan depan rakyat perlu menyambung semula ansuran bank selepas moratorium berakhir. Jadi tolong jangan bebankan lagi rakyat dengan hal-hal yang tidak ada masalah pun sebelum ini.

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.