Bilalah nak selesai isu beban guru?

Bilalah nak selesai isu beban guru?

Membaca laporan akhbar tentang Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mengkaji keperluan mewujudkan pembantu guru bagi mengurangkan beban tugasan yang perlu digalas golongan itu di Parlimen kelmarin agak melegakan.

Sekurang-kurangnya nampak kesungguhan kerajaan mencari penyelesaian kepada isu yang sekian lama menghantui profesion perguruan negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying antara lain berkata, kerajaan juga melaksanakan tujuh langkah bagi memastikan isu beban tugas guru dapat ditangani segera bermula sesi persekolahan tahun ini.

Mulai sesi persekolahan baharu 2023/2024, tiada lagi pertandingan seperti keceriaan pusat sumber, tandas tercantik dan Bilik Operasi Sistem Pengurusan Buku Teks terbaik yang dianggap tidak memberikan impak besar dalam pembelajaran murid.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dalam satu kenyataan pada 18 April 2022, menganggarkan lebih 10,000 guru membuat pilihan bersara awal setiap tahun kebelakangan ini.

Angka itu jauh lebih tinggi berbanding yang dikeluarkan KPM pada 9 November 2021 iaitu sebanyak 4,360 permohonan persaraan pilihan dibuat oleh guru bermula Januari tahun sama.

Trend guru bersara awal kian meningkat dari tahun ke tahun. Pada tahun 2015, sebanyak 2,777 guru yang memilih untuk bersara awal, manakala tahun 2016, angkanya meningkat kepada 3,591.

Ini lebih merisaukan apabila angka berkenaan terus meningkat kepada 4,360 permohonan persaraan awal pada 2021 iaitu bersamaan dengan 1.06 peratus jumlah keseluruhan guru.

Kita sering mendengar slogan ‘Guru jambatan ilmu’ dan ‘Guru ibarat lilin yang menerangi hidup orang lain’. Namun, apabila makin ramai yang mohon bersara awal, tentu ada sesuatu yang menyebabkan mereka hilang keseronokan sebagai guru.

Antara keluhan yang dikatakan jadi punca hilang minat dan keseronokan menjadi guru  adalah persoalan sistem pendidikan negara ditambah tekanan kerja. Ini menyebabkan golongan pendidik lesu dan mendorong mereka untuk ‘menarik diri’ setelah berpuluh tahun berkhidmat sebagai guru.

Ini belum cerita tentang peel sesetengah Pengetua atau Guru Besar yang suka buat program syok sendiri untuk kejar merit dan dapat perhatian di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Sehinggakan pandangan guru-guru lain yang tidak bersetuju ditolak mentah-mentah. Panggil mesyuarat tetapi bukannya untuk dengar pandangan guru-guru sebaliknya untuk sampaikan ‘hajat’ Pengetua atau Guru Besar tentang projek-projek mereka.

Ringkas kata, semuanya menambah beban guru yang terpaksa melakukan kerja tambahan sehingga lewat petang, malah pada hujung minggu pun diarah datang sekolah.

Guru-guru yang memberi pandangan berbeza atau tidak bersetuju dicop sebagai kaki melawan. Difahamkan ada juga yang ditukarkan daripada mengajar sesi pagi ke sesi petang. Lebih dahsyat, ada yang ditukarkan sekolah kerana dicop tidak sebulu dengan pentadbir sekolah.

Kalau pandangan guru-guru tidak diendah, bagaimana mahu menimbulkan rasa cinta dan seronok bertugas. Bagaimana pula mahu mencapai kecemerlangan di sekolah? – UTUSAN

  • Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

 

 

RSS Error: WP HTTP Error: cURL error 28: Operation timed out after 10001 milliseconds with 0 bytes received