Bila nak selesai isu doktor kita? - Utusan Malaysia

Bila nak selesai isu doktor kita?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 dan hingga kini sudah empat kerajaan dan empat perdana menteri menerajui negara, namun isu yang membabitkan doktor tidak juga selesai.

Ia memberi gambaran bahawa isu membabitkan doktor kontrak ini sangat rumit, lebih rumit daripada masalah-masalah negara yang lain hinggakan walaupun setelah bertahun-tahun ia tetap menjadi duri dalam daging kepada sistem kesihatan negara.

Terbaharu, seramai 10,000 doktor kontrak di seluruh negara akan menyertai mogok esok. Jika ia menjadi kenyataan maka ia boleh melumpuhkan sistem kesihatan negara.

Penganjur kempen mogok ini pula awal-awal lagi sudah menasihatkan orang awam supaya tidak mengunjungi hospital awam dan klinik-klinik kesihatan pada Isnin hingga Rabu.

Pada pertengahan bulan lalu, pusat-pusat kesihatan dan hospital di England terpaksa membatalkan beribu-ribu janji temu pesakit ekoran tindakan doktor-doktor muda mogok selama 72 jam ini.

Hal yang sama akan berlaku di Malaysia jika mogok yang dirancang ini menjadi kenyataan. Malah orang ramai juga hairan kenapa isu ini berlaku kepada profesyen kedoktoran yang bukan sahaja sentiasa dipandang tinggi dan dihormati tetapi juga sangat penting kepada masyarakat.

Cara ia dikendalikan seolah-olah memberi gambaran Malaysia ini melimpah ruah dengan doktor dan khidmat daripada kumpulan kontrak ini tidak penting. Ia sedikit sebanyak turut mendedahkan kepincangan dalam sistem kesihatan kita.

Sedangkan sejak isu itu dibangkitkan kira-kira tiga tahun lalu, pelbagai cadangan telah dikemukakan termasuk menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan. Tetapi semuanya ibarat mencurahkan air ke daun keladi. Segala janji untuk menyelesaikan isu ini sekadar kata-kata manis tanpa makna.

Kadang-kadang kita terfikir apakah keutamaan kerajaan dalam memberi menyelesaikan isu yang membabitkan kepentingan awam ini. Ramai tertanya-tanya, ketika kerajaan boleh menghabiskan berbilion ringgit untuk membeli jiwa rakyat ketika pilihan raya melalui pelbagai sumbangan, bantuan dan imbuhan, kenapa isu doktor kontrak ini tidak diselesaikan secara tuntas?

Jika isu ini selesai ia secara tidak langsung akan menyelesaikan masalah kekurangan doktor di negara ini terutama di luar bandar. Mungkin ramai tidak tahu bahawa majoriti hospital kerajaan di negara kita tidak ada pakar.

Jika ada pun jumlahnya tidak ramai menyebabkan senarai menunggu untuk mendapatkan rawatan pakar termasuk pembedahan sangat lama, hingga ada yang meninggal dunia tanpa sempat mendapat rawatan.

Kita tertanya-tanya apa jadi dengan doktor kita hingga memaksa mereka turun ke jalanan bagi menyatakan protes dan mendapatkan pembelaan. Kenapa begitu sekali nasib mereka yang bergelar doktor di nagara kita.

Seperti kata sumber yang menggerakkan mogok ini: “Doktor kontrak sekarang ibarat tisu pakai buang. Semasa Covid-19 melanda, kami yang bermandi peluh malah ada me­ninggal dunia tetapi sekarang dibuat macam sampah, hak-hak kami tidak didengari.”

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia