Bila manusia lebih teruk dari monyet

Bila manusia lebih teruk dari monyet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIKAP penonton Piala Dunia 2026 di Dataran Merdeka membiarkan lokasi penuh bersejarah itu dipenuhi sampah-sarap bukan sahaja mengecewakan, malah menunjukkan wajah sebenar rakyat Malaysia yang kononnya berbudi bahasa.

Meskipun sudah 69 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan daripada penjajah, tetapi hakikatnya pemikiran rakyat belum bebas merdeka apabila kesedaran sivik rakyat Malaysia berhubung aspek kebersihan masih di tahap menyedihkan.

Perkara ini menunjukkan bahawa masalah utama bukan kekurangan kemudahan atau tong sampah semata-mata. Sebaliknya, ia lebih berkait dengan sikap segelintir masyarakat yang masih menganggap kerja membersihkan kawasan awam adalah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan atau pekerja pembersihan.

Jika selama ini kita sering menyalahkan warga asing atas isu kebersihan, hakikatnya majoriti penonton yang membanjiri Dataran Merdeka membuktikan sikap rakyat tempatan sendiri turut menjadi punca masalah apabila meninggalkan timbunan sampah selepas sesuatu acara.

Apa yang lebih membimbangkan ialah kecenderungan sesetengah pihak menyalahkan golongan tertentu seperti warga asing tanpa bukti kukuh. Hakikatnya, majoriti yang hadir pada acara tersebut ialah rakyat tempatan. Menuding jari kepada orang lain hanya mengalihkan perhatian daripada masalah sebenar, iaitu kelemahan sikap sendiri.

Malaysia sering berbangga sebagai sebuah negara yang rakyatnya berbudi bahasa dan mengamalkan nilai murni. Namun, nilai tersebut perlu diterjemahkan melalui tindakan, bukannya sekadar slogan. Kebersihan ialah antara ukuran paling mudah untuk menilai tahap disiplin sesebuah masyarakat.

Ramai rakyat Malaysia yang melancong ke Jepun, Singapura atau negara Eropah mampu mematuhi undang-undang serta menjaga kebersihan dengan baik. Persoalannya, mengapa sikap yang sama gagal diamalkan apabila berada di negara sendiri? Jawapannya ialah kerana masih wujud mentaliti bahawa kesalahan kecil tidak membawa sebarang akibat.

Penguatkuasaan juga tidak boleh dipandang ringan. Sekiranya terdapat individu yang sengaja membuang sampah sesuka hati, tindakan kompaun atau denda perlu dilaksanakan secara konsisten. Tanpa penguatkuasaan, kempen kesedaran sering kali gagal memberi kesan jangka panjang.

Negara maju bukan hanya diukur melalui bangunan pencakar langit atau kemajuan teknologi, tetapi juga melalui disiplin rakyatnya. Kebersihan kawasan awam menjadi antara petunjuk utama kematangan sesebuah masyarakat dalam menghargai kemudahan yang disediakan.

Sempena sambutan hampir tujuh dekad kemerdekaan negara, rakyat sepatutnya menilai semula maksud sebenar kemerdekaan. Kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi juga bebas daripada sikap tidak bertanggungjawab, dan mementingkan diri.

Peristiwa di Dataran Merdeka wajar dijadikan pengajaran. Jika rakyat benar-benar mahu Malaysia dikenali sebagai negara maju dan berbudaya tinggi, perubahan mesti bermula dengan perkara paling asas iaitu membuang sampah di tempat yang sepatutnya. Kemerdekaan yang sebenar bukan hanya tercatat dalam sejarah, tetapi terserlah melalui sikap dan tindakan setiap rakyat dalam kehidupan seharian.

Juani Munir Abu Bakar ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia