Betulkan yang biasa, biasakan yang betul

Betulkan yang biasa, biasakan yang betul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM hidup ini kita sudah terbiasa lakukan sesuatu perkara itu tanpa menyedari atau kita sedar yang ia tidak betul dan tidak boleh diteruskan.

Maka bukalah seluas-luasnya minda kita untuk tekad berhijrah melakukan sesuatu perkara yang betul. Ini supaya ia menjadi kebiasaan dan amalan dalam kehidupan seharian.

Demikianlah dalam bab pentadbiran kerajaan dan politik Malaysia hari ini. Jika ada pembaziran berleluasa tidak kiralah dalam menggaji penjawat awam yang berlebihan, menteri yang tidak ada daya saing, urusan yang boleh dikecilkan bilangan pengendalinya, mungkin boleh digantikan dengan robot, lakukan dan segerakanlah perubahan itu. Jangan ditunggu lagi.

Kehidupan hari ini menuntut kreativiti, kesungguhan dan keberanian untuk menjayakannya. Banyak benda melintas depan mata yang seharusnya diperbetulkan.

Dalam bab berkerajaan, kita tidak mahu perjalanannya berupa ‘laporan audit’ semata-mata. Laporan audit dengan ikhlas mendedahkan segala ketirisan yang menghilangkan duit negara.

Sepatutnya ia dijadikan iktibar dan pengajaran kepada kita semua, tapi malangnya penyelewengan ini terus berulang saban tahun. Pesalah lama tidak dihukum dan dilupakan, kemudian buka pula ‘buku penyelewengan’ baharu.

Rakyat Malaysia melalui pengalaman 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan, 18 bulan kerajaan Perikatan Nasional dan meniti 10 bulan kerajaan campuran Perdana Menteri kesembilan, pastinya telah menilai dan mencongak-co­ngak parti pilihan mereka selepas Parlimen dibubar nanti.

Ada antara tiga kerajaan tadi baharu sahaja berkuasa empat bulan, kepincangannya sudah dikesan apabila beberapa kes digugurkan tanpa menyatakan sebabnya. Suara Majlis Peguam semasa kerajaan terbabit meme­rintah turut suram meskipun satu demi satu konflik kepen­tingan berlaku.

Ada polisi pula didakwa tidak bawa keuntungan kepada rakyat dan negara. Bahkan ada kalangan menteri kerajaan itu sibuk ‘membalas dendam, menyalahkan kerajaan terdahulu’ selain menghapuskan segala legasi dan kebaikan yang pernah dilakukan kepada rakyat. Dan dikatakan pada peringkat awal pentadbiran, berbilion ringgit duit negara mengalir keluar hanya kerana ‘dendam dan mahu mencalar imej’ kerajaan terdahulu.

Dengan inflasi mendatang cukup merisaukan, kenaikan harga barang kian menyeluruh serta kos hidup yang ibarat satu perjudian untuk ditempuh war­ganya, Malaysia perlukan anjakan dan tujahan pemikiran aras tinggi untuk mengubah episod duka ini.

Dengan barisan Jemaah Menteri terbesar – 31 menteri, belum dicampur pelantikan bertaraf menteri beserta 38 timbalan menteri, biarpun dengan keluasan Malaysia 329,847 km persegi dikatakan 26 hingga 28 menteri memadai, Kabinet sedia ada yang dipimpin harus benar-benar merasai dipimpin untuk kebaikan.

Perbetulkan yang biasa, biasakan yang betul. Alah bisa tegal biasa. – UTUSAN

  • Zulkifli Jalil ialah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia