Betulkan sikap terhadap alam sekitar

Betulkan sikap terhadap alam sekitar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kes pencemaran di Tasik Chini, Pahang rupa-rupanya hanyalah tip of the iceberg. Sebabnya, laporan Utusan Malaysia semalam mendedahkan kira-kira 70 peratus lagi daripada 26 tasik semula jadi dan buatan di negara ini didakwa tercemar.

Ia akibat aktiviti pembalakan, pencerobohan hutan dan dijadikan tempat buang sampah menyebabkan ekosistemnya terganggu. Jika tidak dikawal ia mungkin menerima nasib yang sama se­per­ti Tasik Chini dan Tasik Mentiga di Pahang.

Hal itu dikongsi oleh Presiden Pertubuhan Sahabat Alam Sekitar Malaysia (SAS), Datuk Seri Abdul Malek Yusof yang berkata, antara yang didakwa tercemar ialah Tasik Bakun, Sabah; Tasik Timah Tasoh, Perlis dan beberapa lagi di Perak.

“Saya sedih kerana kebanya­kan tasik ini tidak dijaga dan dipantau sebaiknya oleh pihak atau jabatan terlibat. Apabila di dalam hutan simpan, pelbagai kerosakan boleh berlaku di tasik terutama akibat aktiviti pembalakan dan pencerobohan. Namun perkara itu tidak diketahui sesiapa kerana tiada badan yang memantau,” katanya.

Realitinya, fenomena yang berlaku ini amat berkait dengan sikap sebahagian besar manusia. Majoriti kita tidak peduli pun bab alam sekitar ini. Tak perlu pergi jauh. Lihat sekeliling kita.

Masih ada yang selamba dan buat muka sadin buang sampah atau puntung rokok dari kereta. Ini tak termasuk mereka yang menjadikan sungai atau tasik sebagai tempat pembuangan sampah dan lain-lain sisa toksik.

Langsung tak rasa bersalah mengotori jalan raya dan alam sekitar. Ramai yang lupa, kita berada sementara di atas muka bumi. Bumi ini juga bukan kurniaan kekal, ia bersifat pinjaman untuk diwarisi oleh anak cucu dan cicit akan datang.

Oleh itu, hendaklah kita memastikan bahawa bumi ini indah terpelihara dan bukannya punah tercemar. Yang menentukannya adalah cara kita berinteraksi dengan alam. Apabila sistem ini diganggu, maka berlakulah pelbagai bencana alam termasuk yang mengorbankan nyawa dan harta benda.

Ingatlah, firman Allah bermaksud: Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). (al-Rum: 41)

Untuk itu, undang-undang alam sekitar yang ketinggalan zaman perlu segera dipinda. Antara undang-undang tersebut ialah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Perhutanan Negara 1984, Akta Penerbangan Awam 1969 dan Kanun Tanah Negara 1965.

Kesalahan pencerobohan tanah rizab kerajaan misalnya, tindakan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 hanya memperuntukkan denda RM500,000 dan penjara selama lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kelompangan itu menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan menceroboh hutan sehingga menjejaskan ekosistem alam sekitar seperti mana berlaku sejak kebelakangan ini.

Kelemahan undang-undang ini gagal menerbitkan deterrent factor untuk memelihara alam sekitar. – UTUSAN

  • Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya