Bertindak sekarang atau terima akibatnya - Utusan Malaysia

Bertindak sekarang atau terima akibatnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SITUASI 1: Di sebuah kedai bakeri di sebuah pasar raya di Shah Alam. Seorang wanita membeli pelbagai jenis roti dan kek, penuh dua tray. Kemudian, pekerja sibuk membungkus satu persatu roti ke dalam plastik dan bekas plastik. Siap dibungkus, kesemua roti dimasukkan pula ke dalam beg plastik berjenama kedai tersebut.

Situasi 2: Di sebuah pasar raya di Meru, Klang. Dua wanita membeli belah, penuh troli dan pekerja di kaunter menawarkan beg plastik. Wanita berkenaan setuju dan barangan dibeli dimasukkan ke beberapa beg plastik berharga 20 sen setiap satu.

Dalam dua situasi itu, kesemua beg plastik berkenaan akhirnya akan dibuang selepas wanita-wanita itu pulang ke rumah dan roti-roti habis dimakan.

Jika yang ada kesedaran, plastik bungkusan dan beg plastik tadi akan diasingkan dan dihantar ke pusat kitar semula atau mungkin diangkut oleh lori sampah.

Masalahnya, pusat kitar semula tidak menerima plastik-plastik bungkusan makanan dan beg-beg plastik tersebut.

Pekerja pula tidak meng­asingkan plastik bungkusan dan beg plastik tadi. Semuanya akan dicampakkan ke dalam lori sampah dan bercampurlah dengan sisa makanan.

Berdasarkan senario di atas, masalah pembua­ngan sisa plastik dan mikroplastik akan berulang dan berterusan. Selagi kita tidak ada kesedaran yang tinggi dan tiada dasar dan pe­nguatkuasaan yang tegas, kitaran itu akan berulang meskipun negara pada waktu itu berada di abad 22 dan seterusnya.

Siri laporan akhbar ini mengenai pembuangan sisa plastik, sisa industri hatta sisa makanan, sepatutnya sudah menatijahkan penguatkuasaan lebih keras oleh pihak berkuasa.

Laporan terbaharu, pencemaran mikroplastik di Pulau Redang. Kesan pencemaran mengancam terumbu karang dan hidupan marin. Impak jangka panjang, negara boleh berdepan kekurangan sumber marin iaitu ikan. Kurang sumber ikan, negara terpaksa import. Nilai ringgit tinggi okey lah, tetapi jika ringgit jatuh dan tiada pula negara yang mahu menjual ikan mereka, apa akan berlaku?

Berdasarkan situasi dan siri laporan itu, boleh diandaikan, kesedaran rakyat dan peniaga terhadap penjagaan dan pemuliharaan alam sekeliling berkait pembuangan dan pengurusan sisa, hanya berjalan sekiranya ada penguatkuasaan undang-undang yang tegas dan menyeluruh.

Dan di pihak berkuasa pula, janganlah buat per­aturan sekadar hangat-hangat tahi ayam. Pada masa sama, jangan pula peraturan dan undang-undang dibuat hanya terpakai untuk kelompok tertentu. Jika itu berlaku, anda hanya ‘mentongsampahkan’ undang-undang dan peraturan yang anda sendiri buat. – UTUSAN

Yulpisman Asli adalah Pengarang Berita Utusan Malaysia