Bersedia hadapi kenaikan kos haji

Bersedia hadapi kenaikan kos haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Laporan Utusan Malaysia Rabu lalu tentang kos pakej haji swasta dijangka meningkat kira-kira 20 peratus tahun ini ekoran kenaikan caj perkhidmatan, pengangkutan dan penginapan perlu dilihat dalam perspektif yang lebih menyeluruh.

Pakej haji swasta itu dikatakan bakal naik antara RM7,000 ke RM10,000 disebabkan pe­ningkatan kos tersebut di Mekah dan Madinah.

Tahun lalu, pakej yang ditawarkan oleh beberapa pe­ngelola jemaah haji seperti Andalusia Travel & Tours adalah antara RM38,490 hingga RM51,990, TH Travel menawarkan pakej antara RM61,990 hingga RM159,990 sementara CS Holidays menawarkan pakej antara RM45,000 hingga RM85,000.

Oktober lalu, Tabung Haji (TH) telah menjangka kos terus meningkat sekitar RM31,000 seorang pada tahun ini, setelah kos haji muasassah meningkat daripada RM25,540 kepada RM28,632 tahun 2022. Dengan kata lain, kenaikan itu nampaknya tidak dapat dielakkan.

Dalam pada itu, satu-satunya berita tentang ‘naik’ yang disukai adalah keputusan Kerajaan Arab Saudi memberi kuota penuh sebanyak 31,600 kepada Malaysia untuk musim haji tahun 1444H/2023M.

Dengan mengambilkira kos semasa menunaikan umrah yang turut meningkat antara RM1,500 ke RM2,500 sekarang, kos haji muassasah juga akan meningkat. Tiga tahun lalu, masih banyak kos umrah ekonomi sekitar RM5,000 ke RM6,000. Kini harga minimum adalah kira-kira RM7,000 seorang.

Bagaimanapun, kita yakin dan berharap Tabung Haji akan mencari langkah terbaik bagi memastikan bakal-bakal haji dalam kategori B40 misalnya tidak terbeban sehingga memaksa mereka menolak giliran naik haji tahun ini.

Pada masa ini, kumpulan B40 menikmati subsidi seba­nyak RM17,652 atau 62 peratus daripada kos sebenar muassasah. Mereka hanya perlu membayar RM10,980. Kumpulan selain B40 pula menikmati 55 peratus subsidi dan perlu membayar RM12,980 seorang.

Dengan kenaikan kos kira-kira RM2,368 seperti yang dijangka oleh TH, antara langkah yang boleh dilakukan adalah meneruskan subsidi bersasar. Selain itu, subsidi untuk kumpulan selain B40 boleh dikurangkan 20 peratus. Ia bagi mengimbangi jumlah subsidi yang perlu ditanggung oleh TH tahun ini.

Langkah ini juga bagi mengekalkan caj yang sama kepada kumpulan B40 sekali gus tidak membebankan mereka untuk mencari wang tambahan RM2,368 itu tadi.

Dalam masa sama, bakal haji yang telah terpilih pada tahun semasa juga layak membuat pengeluaran wang di KWSP. Jumlah pengeluaran adalah berdasarkan baki simpanan dalam Akaun TH bagi tujuan mencukupkan bayaran haji (muassasah).

Had maksimum adalah RM3,000. Bagi bakal-bakal haji tahun mendatang, hendaklah menambah tabungan daripada sekarang agar sesuai dengan kadar kenaikan tambang haji sebagaimana dijangka.

Jika tak mampu, jangan bimbang kerana anda tidak termasuk dalam kategori yang diwajibkan kerana tidak berkemampuan (istito’ah). – UTUSAN

  • Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya