Berniaga manusia lebih bagus daripada unta

Berniaga manusia lebih bagus daripada unta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mungkin hanya di Malaysia, kita selalu mendapat liputan pada kebanyakan masa, perkara yang memalukan. 1MDB meletakkan Malaysia dalam peta dunia sebagai penipuan korporat terbesar dalam sejarah.

Penipuan itu mendapat liputan yang boleh menebangkan hutan beratus ekar untuk dibuat kertas akhbar. Kerugian dianggarkan RM41 bilion atau hampir separuh daripada peruntukan pembangunan Malaysia untuk Belanjawan 2026.

Beberapa minggu lalu, Malaysia sekali lagi terkenal tetapi kali ia mengenai tujuh pemain warisan yang dikatakan FIFA telah menggunakan dokumen palsu. Hari ini baru diketahui ramai yang lahir di Pulau Pinang berasal dari Argentina dan Brazil.

Tetapi itu hanya separuh dari kisah benar Malaysia. Kepada mereka yang mengikuti isu counter setting di KLIA, pasti bertanya bukankah beberapa bulan lalu puluhan orang ditahan. Kenapa selepas ditahan, ditukar dan digantikan dengan kakitangan atau agensi sempadan lain, perkara sama masih berulang?

Sebelum ini dilaporkan pihak berkuasa merampas barang kemas seberat 3.2 kilogram bernilai RM1.6 juta daripada enam individu yang terlibat dalam sindiket mengatur kaunter atau counter setting dalam Op Rentas. Itu belum lagi tanah, rumah, kenderaan mewah, wang tunai dan barangan berjenama.

Kemudian, Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan 12 individu termasuk tujuh pegawai penguat kuasa kerana terbabit dalam sindiket counter setting bagi memudahkan warga Indonesia masuk ke negara ini. Pegawai penguat kuasa itu dikatakan menerima bayaran rasuah lebih RM490,000 daripada ejen serta runner.

Dengan semua berita penahanan ini kemudian tercetus penahanan 18 pegawai Agensi Kawalan Sempadan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS). Bukan AKPS ini baru diwujudkan dan sudah tercemar.

Siapa yang tidak tercemar? Ada laporan mengatakan bahawa adalah sukar untuk membanteras kegiatan haram ini kerana pegawai baru disogok atau berisiko disisihkan jika tidak mahu terbabit dalam aktiviti mungkar itu.

Tidakkah mereka sedar, membenarkan kemasukan warga asing secara haram menjejaskan keselamatan negara. Apa yang lebih membimbangkan apabila anda melalui kaunter imigresen di KLIA, anda akan mempunyai perasaan keji terhadap mereka yang bertugas. Bayangkan hasil jenayah itu, ada antara mereka mempunyai kedai emas. Ia menjadikan orang biasa yang bekerja secara jujur rasa sangat bodoh.

Apa yang lebih membimbangkan, kekuatan sindiket yang memastikan operasi counter setting ini masih berterusan tanpa mengira siapa yang diganti, ditukar atau dibuang?

Siapa sindiket ini? Jika diambil kira, mesti syarikat yang membawa masuk pekerja asing. Mungkin benar seperti dalam filem lakonan Allahyarham P Ramlee Tiga Abdul – “Dunia dunia berniaga manusia lebih bagus daripada unta.”

Kerajaan berhadapan tugas berat untuk menghapuskan sindiket ini. Akarnya menjalar jauh kerana keuntungan besar yang dikaut. Mereka juga mungkin bersekongkol dan memberi sogokan kepada pemimpin dan ketua. Mereka yang menentang, keluarga mereka diancam. Begitu besar kuasa sindiket dan kartel. Itu hanya kemasukan pekerja asing. Belum lagi barangan dengan cukai tinggi yang melalui sempadan. Bagaimana dengan kartel yang menguasai perniagaan tertentu.

Ia cabaran terbesar kerajaan untuk menghapuskan golongan ini. Tetapi mereka harus dikecilkan kerana keselamatan negara lebih penting. Jika tidak akan wujud terlalu ramai yang menjadi ‘Tuan Husin Lempoyang’ dan menjual manusia pada 4,000 pound. – UTUSAN

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.