Bermula hari yang mengubah sejarah negara - Utusan Malaysia

Bermula hari yang mengubah sejarah negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini Parlimen bersidang semula. Ia persidangan pertama ahli Dewan Rakyat selepas krisis keyakinan yang menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin disingkirkan sebagai ketua kerajaan dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri.

Dalam tempoh kira-kira tiga tahun, Malaysia menyaksikan kerajaan diterajui tiga Perdana Menteri berbeza. Pelbagai pandangan diutarakan sama ada pentadbiran kerajaan sebelum ini gagal atau tidak.

Faktanya – darurat selama lapan bulan menyaksikan kes Covid-19 berlegar kira-kira 20,000 sehari, lebih 20,000 orang mati dalam sembilan bulan tahun ini kerana virus itu, angka pengangguran mencecah lebih 750,000 dan 638 kes bunuh diri dilaporkan di antara Januari hingga Julai tahun ini, 143 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama setahun lalu.

Mungkin Ketua Pengarah Kesihatan dapat menjelaskan bagaimana Malaysia sampai ke tahap ini. Ia akan menjadi satu perbincangan akademik kepada mereka yang objektif dan mahu mendengar. Kadangkala, bagaimana kita cuba sekalipun, sukar menyembunyi gajah di dalam bilik.

Hari ini tumpuan adalah kepada Ismail Sabri sebagai Ketua Majlis Parlimen. Apa akan berlaku semasa Dewan Rakyat bagi penggal keempat, Parlimen ke-14 ini pasti mendapat perhatian.

Ismail Sabri bagi mengabsahkan niatnya kepada transformasi Parlimen dan kerajaan telah membuat tujuh tawaran untuk difikirkan ahli dewan. Ketua Pembangkang pasti gembira akan mendapat saraan setara seorang menteri atau penasihat atau duta khas bertaraf menteri.

Pembangkang juga dijemput terbabit dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) waima memberi ruang kepada pembabitan lebih menyeluruh ahli Parlimen. Sementelah menjadi wakil rakyat, harapannya cadangan yang bijak dapat didengar.

Tetapi semua di atas tidak sepenting tiga perkara yang diusulkan Ismail Sabri. Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti, Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan pelaksanaan Undi18 dan Pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun. Tiga perkara ini akan menjadi permulaan kepada transformasi sistem demokrasi di negara ini.

Paling utama adalah Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti. Ini kerana 220 ahli Parlimen di dalam dewan yang mulia itu terkesan sama ada secara langsung atau tidak langsung apabila ada wakil rakyat berubah hati.

Implikasinya, walaupun cuba dihalalkan serta disulam dengan pelbagai alasan seputih kain, tidak mengubah fakta bahawa keadaan kucar-kacair negara berpunca daripada “kegiatan lompat parti”.

Semua ahli Parlimen bukan sahaja harus menimbang tetapi mesti menyokong Rang Undang-Undang Anti-Lompat parti tanpa mengira dari parti mana sekalipun. Di dalam kehidupan ini, tidak semua diberi peluang untuk melakukan sesuatu yang akan mengubah sejarah sesebuah negara.

Sejumlah 220 ahli Parlimen yang hadir hari ini diberi peluang untuk menjadi lebih besar daripada diri sendiri, jawatan, kekayaan dan memilih meletakkan batu asas kepada Malaysia yang baharu.

 

Mohamad Azlan Jaafar ialah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.