Berkawanlah kalau tidak mampu berlawan - Utusan Malaysia

Berkawanlah kalau tidak mampu berlawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ketika ini berpuluh ribu penduduk di Kelantan dan Terengganu masih menumpang di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka oleh pihak berkuasa ekoran banjir yang melanda kedua-dua negeri itu.

Penduduk terlibat tiada pilihan selain berpindah ke PPS untuk berlindung selepas rumah mereka dinaiki air demi keselamatan diri serta ahli keluarga.

Malah ramalan Meteorologi Malaysia juga menunjukkan hujan berterusan sehingga hujung minggu ini. Sama ada keadaan menjadi lebih baik atau buruk, semua pihak berharap dan berdoa agar musibah itu cepat berakhir.

Banjir bukan sahaja menyukarkan kehidupan mangsa yang terbabit tetapi juga membawa malapetaka, kemusnahan harta benda dan ekonomi serta kehilangan nyawa.

Tahun lalu sebanyak 48 kematian dilaporkan akibat banjir dengan separuhnya berlaku di Selangor yang dikejutkan banjir besar khususnya di penempatan padat penduduk di Shah Alam.

Banjir Kelantan, Terengganu yang berlaku ketika ini sudah pun meragut sekurang-kurangnya lima kematian seperti dilaporkan oleh media.

Berbeza dengan penduduk di Pantai Timur yang sudah bersedia menghadapi bencana banjir saban tahun, mangsa banjir di Shah Alam pula sebaliknya apabila ramai terperangkap dan tidak sempat berpindah ke tempat selamat.

Siapsiaga penduduk di Pantai Timur memang sudah dijangka kerana sudah berpuluh tahun banjir melanda negeri terlibat pada setiap hujung tahun. Malah mereka sudah boleh `berkawan’ dengan bencana alam itu. Banjir juga sudah menjadi seperti pesta bagi sebahagian daripada mereka.

Namun di sebalik pesta banjir itu, negara kerugian sehingga RM36 bilion setahun akibat kemusnahan yang berlaku. Bagi yang kehilangan ahli keluarga atau harta benda mereka musnah, sudah pasti ia satu tragedi.

Berapa lama lagi kedua-dua negeri itu berterusan tenggelam dalam banjir pada setiap tahun? Sampai bila berpuluh ribu penduduknya akan berlindung di PPS dan menghadap kemusnahan harta benda? Tidakkah ada usaha yang benar-benar berkesan bagi mengatasi bencana itu?

Betul, alam tidak boleh dilawan. Hujan lebat keterlaluan yang membasahi bumi sehingga berlaku banjir, tiada siapa boleh menahannya. Kalau sudah berserah alam tidak boleh dilawan, maka berkawanlah dengan alam.

Henti kerakusan menggondol hutan, bukit dan merosakkan sungai. Kelestarian alam sekitar perlu dipertingkatkan. Selenggaralah longkang, tali air, sungai dan sampah dengan bijaksana.

Kalau banjir sudah boleh diramal beberapa bulan sebelum ia berlaku, percayalah bencana itu juga boleh diurus dengan baik dan risikonya dapat dikurangkan. – UTUSAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya