Berilah PTPTN penuh kepada pelajar IPTS - Utusan Malaysia

Berilah PTPTN penuh kepada pelajar IPTS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saranan supaya 500,000 pelajar di kira-kira 400 institut pe­ngajian tinggi swasta (IPTS) diberi pinjaman penuh bukan sahaja wajar tetapi tepat ketika semakin ramai ketua keluarga pening kepala membuat bajet mencukupkan putaran bulanan.

Selama ini, semua pihak tidak peduli isu kebajikan pelajar di IPTS kerana beraggapan kumpulan memilih IPTS adalah dalam kalangan kaya atau maha kaya. Jadi jika memilih IPTS pandai-pandailah menguruskan perbelanjaan.

Namun, hakikatnya tidak semua yang memilih menyambung pelajaran ke institusi swasta adalah dalam keluarga T20, M20 atau mahakaya.

Sebaliknya, dalam kira-kira 500,000 tersebut terdapat pelajar yang tiada pilihan kerana permohonan mereka ditolak universti-universi awam (UA). Malah ramai juga lepasan SPM dan STPM yang mendapat keputusan bagus namun tidak berjaya ke UA. Mereka sangat kecewa dan memohon belajar di IPTS.

UA yang dibiayai kerajaan mempunyai tempat terhad dan bagi menampung lepasan SPM dan STPM yang gigih mahu meneruskan pengajian peringkat lebih tinggi sudah tentu IPTS menjadi penyelamat.

Pilihan IPTS juga mungkin disebabkan program ditawarkan menepati cita-cita pelajar tersebut. Walaupun isu besar kerana yuran mahal tetapi kualiti lepasan IPTS tidak kurang dengan UA. Kebanyakan IPTS tidak sembrono menerima pelajar hanya kerana keluarga mampu membayar yuran.

Sebaliknya pengambilan pelajar sama ada untuk melanjutkan pengajian ke peringkat diploma atau ijazah berteraskan pencapaian akademik. Malah jika membuat pilihan IPTS yang tepat, suasana pembelajaran di pusat pengajian swasta itu didakwa lebih kondusif dan global.

Oleh itu, walau apa faktor menyebabkan pelajar memilih IPTS, kerajaan patut bangga kerana anak-anak ini masih bersemangat untuk menyambung pengajian di peringkat tinggi.

Bayangkan, jika kalangan yang gagal diterima ke pusat-pusat pengajian awam mengambil keputusan memasuki alam pekerjaan, sudah tentu Malaysia bakal berdepan dengan generasi tenaga kerja tidak mahir.

Sebelum ini dilaporkan Kementerian Pendidikan mendapati kira-kira 300,000 pelajar lepasan SPM tidak mahu me­lanjutkan pelajaran atas beberapa faktor termasuk kemungkinan tertarik dengan ekonomi gig.

Jika fenomena itu berterusan matlamat kerajaan yang me­nyasarkan untuk mewujudkan 300,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk golongan belia pada 2025 hanya sia-sia.
Ia merentasi sektor berimpak tinggi seperti elektronik dan elektrikal, automotif, kimia dan sains hayat serta teknologi perubatan.

Bagaimanapun, jumlah itu sukar dicapai jika tiada tenaga kerja mahir mencukupi untuk mengisi jawatan tersebut.

Oleh itu, cadangan supaya pelajar IPTS turut diberi pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) penuh adalah adil. Nama pun pinjaman, bukan percuma jadi pengurusan PTPTN patut mencari kaedah untuk merealisasikan pendapat bernas itu.

Pinjaman penuh kepada pelajar IPTS perlu disegerakan kerana ketika ini kos sara hidup di negara ini terus mencabar. Kelangsungan hidup tahun depan diramal terus menekan apabila kerajaan dalam langkah merasionalisasi semula subsidi membabitkan beberapa barang termasuk perkhidmatan.

 

 

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia