Beri peluang, masa untuk berdamai - Utusan Malaysia

Beri peluang, masa untuk berdamai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Umum Ke-15 sudah lebih seminggu berlalu. Walaupun berlaku kekalutan, akhirnya Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Pelantikan itu tidak mudah. Jenuh juga ‘bersilat’. Pakatan Harapan (PH) yang memperoleh kerusi terbanyak berjaya meya­kinkan Barisan Nasional (BN) untuk bersama-sama membentuk kerajaan Pusat dan dua kerajaan negeri selepas Perikatan Nasional (PN) menolak cadangan kerajaan perpaduan PH-PN.

Namun, langkah BN itu mahal harganya. Parti itu berdepan dengan bantahan dalam kalangan ahli-ahli dan pengundinya. Ada yang menyuarakan rasa marah mereka dan ada yang hanya memendam rasa. Mereka rasa tertipu. Mereka sukar menerima PH selepas sekian lama dimomok-momokkan dengan pelbagai cerita berbaur perkauman dan keagamaan.

Tindakan BN itu juga mengecewakan PN. Akibatnya, senario politik negara terus panas, apatah lagi masih ada dua lagi kerusi yang belum selesai iaitu Parlimen Padang Serai di Kedah dan Dewan Undangan Negeri Tioman di Pahang. Tahun depan, pilihan raya di enam negeri pula menunggu.

Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa kemenangan mereka dirampas, kelihatan bersungguh-sungguh dalam pilihan raya Padang Serai dan Tioman. Saban malam top gun mereka turun berkempen.

PN merasakan momentum sokongan rakyat khususnya orang Melayu masih memihak kepada mereka. Kemenangan di dua kerusi itu dilihat sangat penting dalam memberikan suntikan moral kepada mereka.

Walaupun ia tidak akan merubah kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Pahang tetapi kemenangan itu akan mengukuhkan dakwaan bahawa mereka sebenarnya yang memenangi PRU15 dan majoriti orang Melayu di belakang mereka.

Setakat ini, Perdana Menteri tidak begitu terkesan dengan serangan bertali arus PN khususnya daripada Pas dan Presidennya. Beliau fokus kepada tugas baharunya. Mungkin bagi beliau, langkah membantu rakyat lebih utama kerana akhir­nya rakyat akan menilai siapa yang benar-benar bekerja.

Justeru, rakyat juga wajar kurangkan berpolitik. Paling penting tak usah terlalu taksub terhadap sesuatu parti atau pemimpin. Terimalah apa yang sudah ditakdirkan. Pasti ada hikmahnya.
Berterusan memburuk-burukkan kerajaan sendiri tidak akan membantu negara keluar dari kemelut.

Terlalu banyak isu yang perlu ditangani. Isu kos sara hidup, perumahan, pelaburan, keselamatan makanan, belia dan pengangguran, pendidikan, kesihatan dan pelbagai lagi yang berkait rapat dengan kita semua.

Beri peluang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pasukannya memulihkan negara ini. Kita sudah jauh ketinggalan berbanding negara-negara jiran. Sekarang sebenarnya masa untuk perdamaian walaupun sementara.

Langkah terbaik ialah menjadi pengkritik kepada kerajaan terhadap dasar-dasar yang digubal dan mengingatkan mereka terhadap janji-janji dalam manifesto mereka.

Jadikan rakyat yang bijak dan tidak emosi. Majoriti sudah memilih kerajaan ini. Maka sama-samalah membentuknya menerusi kritikan membina. Kalau mereka gagal, kita ubah dalam PRU16 atau mungkin lebih awal!

 

Ismail Daud ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya