Beras seperiuk belum tentu semua jadi nasi - Utusan Malaysia

Beras seperiuk belum tentu semua jadi nasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAMBUT Hari Raya Aidilfitri di kampung sudah tentu ada pelbagai cerita dikongsi. Bagi orang bandar yang pulang berhari raya di kampung mereka akan cerita perihal hidup mereka di bandar kini yang serba-serbi kena bayar.

Pada mereka orang kampung bertuah kerana rumah tidak kena sewa, sayur boleh tanam sendiri, ikan boleh ternak di belakang rumah atau cari di tali air sekitar sawah dan sebagainya.
Itu tidak bermakna hidup mereka mudah. Hidup mereka bergantung kepada harga komoditi.

Kalau harga getah, kelapa sawit dan padi rendah susah juga mereka mahu hidup. Bagi pekebun getah dan kelapa sawit mereka berkongsi masalah yang sama akibat cuaca panas sekarang iaitu hasil yang merosot.

Tetapi pada hari raya kali ini satu isu menjadi isu bersama sama ada mereka tinggal di bandar atau kampung, iaitu isu beras tempatan.

Ketika bertandang ke rumah seorang jiran, ketika menghidangkan ketupat palas yang sudah dipotong-potong bersama gulai daging pekat, dia berkata sekarang ada peribahasa baharu.

“Kalau dulu ada peribahasa dalam setandan pisang bukan semuanya busuk. Sekarang ada peribahasa baharu, dalam beras seperiuk bukan semua jadi nasi.”

Katanya, sekarang dia pelik sebab beras yang dimasak datang dari kampit sama, dalam periuk yang sama tetapi ada yang masak, ada pula mentah.

Menurut mereka, seolah-olah dalam sekampit beras 10 kilogram itu ada dua jenis beras berbeza.

Ada sesetengah pula, dalam seperiuk nasi yang ditanak menggunakan beras dari kampit sama tetapi ada yang lembik dan ada pula yang keras.

Selalunya, situasi itu berlaku apabila dua jenis beras dicampur. Kerana, setiap beras memerlukan sukatan air yang berbeza. Untuk beras tempatan mungkin perlu air lebih, kalau beras import dari Siam airnya tidak perlu banyak.

Kesimpulan yang mereka buat, ialah ini mungkin puncanya beras tempatan hilang dari pasaran kerana dicampur bersama import untuk dijual pada harga yang tinggi.

Kata mereka, apabila seperiuk nasi yang ditanak ada yang mentah dan ada pula yang masak elok, bermakna ia mempunyai dua jenis beras.

Ini hanya pengamatan orang kampung berdasarkan pengalaman yang mereka lalui dalam kehidupan seharian sekarang.

Pertama, beras tampatan boleh dikatakan langsung tidak ada di pasaran. Sama ada di kedai runcit, pasar raya kecil atau pun pasar raya besar, sukar untuk dapatkan beras tempatan yang harganya murah seperti dahulu kala.

Yang kedua, beras import dari kampit yang sama apabila dimasak memberikan hasil berbeza? Kenapa? Tidakkah ia berpunca daripada beras yang bercampur-campur?

Apapun mereka berharap kerajaan dapat menyelesaikan segera isu ‘kehilangan’ beras tempatan di pasaran ini. Bagi pesawah mereka tertanya-tanya mana pergi beras dari sawah yang mereka usahakan?

Menurut mereka setiap kali ke kedai mereka rindukan beras tempatan kerana harganya berpatutan.

 

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Ming­guan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya