Berapa banyak parti orang Melayu la…

Berapa banyak parti orang Melayu la…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Spekulasi mengenai pilihan raya semakin kuat bertiup. Kenyataan pemimpin-pemimpin di pelbagai peringkat sudah mula kedengaran. “Kalau berani, bubar Dewan Undangan Negeri. Kita kembalikan hak kepada rakyat untuk memilih.”

Negeri Sembilan, Melaka dan Johor kelihatan sangat ranum untuk mengadakan pemilihan atas sebab masing-ma­sing. Pemimpin di peringkat negeri seperti gila talak mahukan perpisahan daripada kerajaan sedia ada.

Di Johor, kenyataan bahawa UMNO akan bertarung sendirian di semua 52 kerusi menjemput balasan sama oleh rakan-rakan dalam kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan. Di Negeri Sembilan, kerajaan berjalan di atas ais yang nipis kerana UMNO menuntut diadakan pilihan raya negeri.

Untuk sesetengah pemimpin ini masa paling sesuai untuk menguji sama ada parti mereka kembali relevan. Keadaan ekonomi yang mencabar memberi peluang untuk menjana sokongan terutama menjual isu kenaikan kos sara hidup tinggi dan peluang pekerjaan yang sukar.

Keretakan dalam parti-parti dalam kerajaan Perpaduan dan selain pertelingkahan antara Pas dan Bersatu dalam Perikatan Nasional adalah tonik jantan yang menghalalkan bahawa ini masa paling sesuai untuk menjaja ideologi ‘penyelamat bangsa, agama, negara’.

Di Malaysia terutama di kalangan ahli politik Melayu terdapat ramai Super Politicians. Mereka yang mampu melakukan apa sahaja.

Pertelingkahan dalam parti menyaksikan muncul beberapa parti baru. Seperti mana pertelingkahan untuk jawatan dalam UMNO menyaksikan lahirnya parti seperti Semangat 46, PKR dan Warisan. Pertelingkahan untuk jawatan dan perbezaan ideologi melahirkan Amanah, Bersatu dan Pejuang.

Perkara sama berlaku dalam PRK apabila Datuk Seri Rafizi Ramli dan penyokongnya keluar untuk mewujudkan parti Bersama. Datuk Seri Hamzah Zainudin didakwa mengambil alih Parti Keluarga Malaysia dan dikatakan akan bersama PAS.

Dari satu perspektif, kita boleh katakan orang Melayu memang suka jawatan. Pengerusi masjid atau surau yang tewas dalam pemilihan pada kebanyakan masa akan hilang dari kariah untuk beberapa tahun. Ketua Kampung atau Presiden Persatuan Penduduk yang tidak dipilih semula tidak akan lagi terbabit dalam aktiviti setempat. Pegawai tertinggi kerajaan selepas bersara pasti mendapat jawatan pengerusi di syarikat-syarikat tertentu.

Jawatan menjadikan mereka relevan atau ketagihan pengiktirafan seperti mana ketika berjawatan. Ahli politik di kalangan orang Melayu seperti mahu membawa jawatan ke liang kubur.

Untuk orang Melayu, parti mana harus dipilih. Anda ada UMNO, PAS, Bersatu, Amanah, Bersama, Muda, Keluarga, Pejuang, PUTRA dan Warisan (di Sabah). Terdapat hampir 18 juta orang Melayu di Malaysia atau mewakili 58.3 peratus ke­seluruhan penduduk negara ini.

Pertambahan parti politik akan memecahkan undi orang Melayu, sekaligus mengelak mana-mana parti dominan yang diterajui Melayu untuk menguasai jumlah kerusi yang diperlukan untuk menerajui negara.

Tanpa jumlah kerusi dominan, harapan untuk menyaksikan kerajaan tunggal seperti ketika BN menang 198 kerusi daripada 219 kerusi pada pilihan raya umum 2004.

Jika parti-parti Melayu ini bersetuju untuk bekerjasama, hasilnya akan tetap sama kerana pemimpin ini akan pasti bertelagah kerana apa yang mereka impikan adalah jawatan seperti mana ketua penduduk atau pengerusi masjid. Masa yang menarik untuk melihat mereka yang gilakan jawatan. – UTUSAN

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn Bhd.