Bendung scammer sebelum jadi krisis - Utusan Malaysia

Bendung scammer sebelum jadi krisis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Macam-macam kisah dunia jenayah. Ada yang lucu, kejam dan ada yang tidak disangka-sangka.
Antara banyak kes jenayah sekarang, sindiket penipuan siber paling gah sehingga kejadian-kejadian ditipu scammer sudah semacam tidak ada makna.

Ramai sudah bosan untuk mengambil tahu kes scammer kerana mangsa-mangsa macam terlalu naif sehingga tidak tahu apa-apa mengenai jenayah itu.

Paling tidak boleh diterima, ramai pula kumpulan professional seperti peguam, bekas pegawai polis, pensyarah, doktor dan bekas pegawai diplomatik pun terpedaya.

Tidak tahulah apa punca orang cerdik pandai dan celik teknologi boleh lalai sehingga licin wang simpanan diserah kepada penjenayah siber.

Ada benar juga, scammer yang tahap akademik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) rupanya dilatih sampai boleh jadi lebih bijak daripada kumpulan profesional bergaji mahal. Inilah situasi semasa kes-kes jenayah yang sedang bermaharajalela.

Sindiket ini dilihat tidak perlu kerja kuat, tidak susah dan paling hebat seperti tiada risiko kerana sehingga kini belum ada pengumuman polis berjaya menangkap kepala scammer.

Yang kita dengar, polis mengheret pemilik keldai akaun ke mahkamah. Dalam lima bulan pertama tahun ini sahaja, jenayah penipuan scammer sudah menyapu duit mangsanya RM155 juta membabitkan 3,604 kes.

Beralih daripada kehairanan bagaimana semakin ramai diperdaya scammer, tercetus persoalan sampai bila geng jenayah siber akan terus bermaharajalela?

Benar polis, kerajaan, bank-bank dan NGO berterusan mengeluarkan amaran supaya orang ramai tidak tertipu dengan apa juga taktik scammer.

Namun, kesannya tidak menjadi manakala scammer pula bertambah agresif. Jika tahun lepas ramai antara kita memberitahu hanya menerima tiga bulan sekali panggilan scammer namun tahun ini ramai mendakwa mereka me­nerima hampir setiap hari panggilan scammer.

Scammer zaman kini juga lebih berhati kering apabila tidak peduli jika sasaran mengetahui mereka adalah penipu. Sebaliknya scammer mempersoalkan semula kepada sasaran `jika tahu panggilan ini scammer’ kenapa mahu melayan’.

Disebabkan terlalu kerap dihubungi scammer, berlaku pula kesusahan kepada pihak kakitangan bank yang perlu berhubungan dengan pelanggan tetapi turut disangka scammer.
Kesimpulannya, rangkaian scammer ini bagai menghuru-harakan antara urusan sah dengan urusan jenayah.

Sudahnya, bank kini perlu mencari alternatif terbaik untuk meyakinkan pelanggan bahawa mereka bukan scammer. Turut terkesan dengan aktiviti scammer ialah semua bentuk jualan dalam talian malah tawaran bantuan kerajaan juga banyak disalah anggap sebagai scammer.

Namun di sebalik salah faham itu, timbul pula dakwaan banyak juga pelanggan yang membuat pinjaman dengan bank memanipulasi aktiviti scammer untuk tidak melayan panggilan bank.

Justeru, jenayah siber ini perlu penyelesaian dan jika bank dan agensi penguat kuasa gagal membendungnya tidak mustahil satu hari jenayah scammer diisytihar sebagai krisis.

 

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

 

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya