Baru sedar parti itu penting

Baru sedar parti itu penting

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DULU sibuk bebenor gamaknya hingga tak mahu tahu langsung hal parti. Dulu bila sebut parti pun malu. Perlekehkan parti.

Dulu kata kerajaan ini bukan ‘kerajaan parti’ tapi kerajaan yang ditubuhkan berasaskan ahli-ahli Parlimen. Jadi, MP-MP konon tak perlu sangat ikut arahan parti.

Tapi lain pula nadanya bila dekat musim pilihan raya. Ter­sedar pula dari lena yang panjang bahawa parti itu memang ada, memang wujud. Datang sendiri ke ingatan yang parti itulah telah meletakkan dirinya di jawatan penting, waima menteri, GLC ataupun apa yang dipanggil ‘kuasa’.

Kelibat mereka yang berjawatan lupakan parti ini tak ramai. Segelintir sahaja tindak tanduk sedemikian. Tapi disebabkan ada perilaku sebegini, lantas datang jengkel kepada orang lain memandangnya. Keinsafan datang baru teringatkan parti bila sudah suam-suam kuku tidak lagi ada ruang mahu tunjukkan kuasa bila isu besar masyarakat sudah berlalu, berjaya dita­ngani.

Ada ketika aksi lupakan parti oleh mereka ini meluat dipandang. Dalam pilihan raya negeri enggan tampakkan diri dia itu ahli parti. Main sembunyi, nyorok-nyorok. Tak mahu sarung vest atau topi ada lambang parti. Mahu jaga imej diri konon tidak mahu main politik.

Peliknya parti-parti lain yang ahli mereka juga berjawatan, malah porfolionya kanan pula dalam kerajaan tak ada pula isu bab ini. Bukan saja bersahaja, bahkan bangga pakai baju berlambangkan parti mereka.

Kelibat yang ‘baru sedar parti penting’ ini mula resah gelisah bila berbicara hal kawasan/kerusi yang mana mahu ditandingi. Baru ‘bertemu buku dengan ruas’ kembali berpijak di bumi nya­ta yang populariti diraih selama ini bukanlah kerana dia wakil rakyat bebas. Tapi kerana diri itu dikenali atas platform parti dianggotainya.

Orang parti kenal siapa ‘mereka’ ini. Tahu track record mereka. Ada ketika hanya tahu putarbelitkan isu untuk kepentingan politik diri. Padahal mereka inilah dulunya dapat banyak nikmat hasil daripada perjuangan parti. Apabila sudah gelap mata kejar jawatan, macam-macam cercaan dan tohmahan pula dilemparkan terhadap parti dan pemimpin atasan sendiri.

Hidup harus ikhlas. Jangan sesekali khianati parti sendiri yang selama ini banyak berjasa dan berbakti bukan saja kepada rakyat, tapi kepada anda sendiri. Kalau benar-benar ikhlas, kita tidak akan sanggup burukkan parti sendiri. Tiru macam parti bukan Melayu, ada dengar kisah-kisah begini dalam DAP?

Kesetiaan kepada parti bukanlah suatu yang boleh dikompromi. Jangan lari dari medan perang seperti terjadi selepas PRU 2018 atau lupa asal usul parti dan perjuangannya sebagaimana terjadi trend lompat parti Langkah Sheraton, juga selepasnya.

Setia kepada parti bukan hanya ketika senang, tapi kese­tiaan itu setiap masa. Ya, sepanjang liku-liku perjuangan – ketika suka dan duka, ketika susah dan senang.

Benar kata orang, lebih mudah menghadapi musuh yang lampunya terang benderang dari mengendali musuh dalam selimut.

Tangani sosok oportunis ‘baru sedar parti penting’ ini de­ngan cermat.

Jangan jatuh dalam lubang ular yang sama. – UTUSAN

  • Zulkifli Jalil ialah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya