Bantu lahirkan lebih ramai teknousahawan

Bantu lahirkan lebih ramai teknousahawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi pemilik kenderaan, pasti ramai yang pernah mengalami kereta tidak dapat dihidupkan kerana masalah bateri. Ia berlaku di mana-mana sahaja di rumah, pejabat dan juga di tengah jalan.

Sudah pasti pengalaman itu amat memeritkan lebih-lebih jika berlaku dalam perjalanan ke sesuatu tempat. Mahu tidak mahu, bateri perlu ditukar baharu atau dicas semula.

Jika dahulu sudah tentu mekanik yang akan dipanggil untuk menukar bateri kenderaan itu dan terpaksa menunggu dalam waktu yang lama sementara meka­nik berkenaan tiba.

Harganya pula sudah tentu tinggi kerana selain harga bateri yang diambil untung komisennya, kos mekanik datang dan ubah tukar bateri juga akan diambilkira.

Namun keadaan itu berubah apabila ada usahawan yang kreatif menawarkan perkhidmatan mereka untuk menghantar dan menukar bateri ke lokasi di mana kenderaan yang berhadapan masalah tersebut. Kosnya pula lebih rendah.

Dengan sedikit ilmu dalam bidang otomotif yang dipelajari di institusi latihan seperti Institut Kemahiran Mara (IKM), usahawan berasaskan kemahiran itu dapat menyelesaikan masalah ramai pemilik kendera­an yang berhadapan masalah bateri.

Siapa sangka lepasan IKM yang dulunya hanya untuk melahirkan pelatih berkemahiran dalam pelbagai bidang untuk industri kecil dan sederhana, syarikat Bateriku.com. misalnya kini menjadi syarikat utama di negara ini kerana perkhidmatan yang ditawarkan.

Syarikat itu bukan sahaja mampu membuka banyak peluang kerja malah wakilnya juga mampu memperoleh pendapatan lebih RM10,000 sebulan termasuk merekrut graduan universiti.

Sebab itulah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu supaya pemikiran pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di pelbagai institusi latihan di bawah Mara perlu lebih terarah menjadi teknousahawan berbanding kerja makan gaji.

Malah kata beliau TVET di bawah Mara telah melahirkan 50 jutawan dalam pelbagai bidang dan Bateriku.com antara bukti kejayaan tersebut.
Setakat ini jumlah pelajar yang mengikuti kursus di pelbagai institusi TVET berjumlah 436,285 orang dan minat terhadap bidang kemahiran

semakin meningkat.

Tahun lalu seramai 212,022 pelajar iaitu 53.56 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah memi­lih institusi TVET.

Kecenderungan ramai terhadap TVET dan keseda­ran terhadap bidang keusahawanan seharusnya tidak dibiarkan begitu sahaja. Mereka yang berada dalam bidang itu perlu dibantu dan diberi insentif yang menarik.

Ini kerana ia bukan sahaja untuk kebaikan mereka tetapi juga membuka lebih banyak peluang kerja kepada orang lain terutama lepasan sekolah yang enggan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. – UTUSAN

Muhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia