Bangunan tertinggi, sekolah daif, derita Orang Asli - Utusan Malaysia

Bangunan tertinggi, sekolah daif, derita Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menyatakan pendirian beliau tidak akan membina sebarang mercu tanda baharu semasa zaman pentadbiran­nya. Pendirian beliau ini wajar kerana bangunan-bangunan pencakar langit sedia ada di ibu negara sudah mencukupi.

Ketika kita berbangga dengan tiga bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur, kadang-kadang kita lupa pada sebahagian lagi rakyat yang seumur hidup mereka langsung tidak berpeluang untuk menatap mercu tanda kebanggaan negara itu.

Semua mercu tanda ini di Kuala Lumpur, bukannya di Gua Musang, Baling ataupun Pitas. Sedangkan majoriti penduduk di kawasan ini tidak tahu apa itu TRX atau Menara 118.

Yang mereka tahu macam mana setiap hari terpaksa bergelut melalui jalan-jalan berselut untuk menghantar anak ke sekolah daif yang langsung tidak ada kemudahan moden.

Saban hari penduduk di kawasan pedalaman bertungkus lumus untuk memberikan kehidupan yang terbaik kepada mereka dan anak mereka dalam keadaan kemudahan asas yang serba kekurangan.

Lihatlah di Sekolah Kebangsaan Limau Purut di Kuala Lipis, Pahang sudah uzur dan perlu diberikan perhatian segera. Bilik darjahnya tidak mencukupi untuk murid. Bilangan murid yang daripada orang Melayu dan Orang Asli makin bertambah. Tetapi kemudahan sekolah kekal daif kerana adanya jalan raya dan kemudahan asas lain.

Kuala Lipis dengan Kuala Lumpur jaraknya bukan jauh pun. Lebih kurang 200 kilometer sahaja. Tetapi perbezaan kemudahan pendidikannya berbeza.

Ketika Menara 118 (yang ketiga tertinggi di dunia) bakal dirasmikan, penduduk di Kuala Lipis terpaksa merayu untuk tambak sekurang-kurangnya empat bilik darjah dahulu di SK Limau Purut (jika tidak boleh bina bangunan baharu) untuk menyelesaikan sedikit masalah yang ada.

Itu belum lagi dibongkar kisah sedih kedaifan sekolah-sekolah luar bandar lain sama ada di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak. Apa guna kita berbangga dengan bangunan tertinggi di dunia jika anak-anak kita di pedalaman belajar di sekolah yang usang dan daif?

Oleh itu kita berharap komitmen Perdana Menteri untuk tidak membina mercu tanda sebalik menumpukan kepada pembangunan sahsiah, budaya dan minda berkelas dunia menjadi realiti.

Negara-negara maju terutama di Eropah, tidak pernah berlumba-lumba membina mencu tanda. Mereka tidak memiliki bangunan tertinggi di dunia, tetapi mereka membekalkan teknologi kepada bangunan.

Keupayaan ini yang perlu kejar. Bukannya kemajuan kos­metik yang sekadar hiasan. Pada masa sama, pembangunan biarlah seimbang. Tidak guna ketika di Kuala Lumpur ada tiga menara tertinggi di dunia, penduduk di Kuala Lipis pula terpaksa merayu untuk dapatkan tambahan empat buah lagi bilik darjah demi anak-anak mereka bersekolah.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia