Bahaya umpan ejen pekerjaan, scammer - Utusan Malaysia

Bahaya umpan ejen pekerjaan, scammer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS tamat pengajian, Ali, (bukan nama sebenar), dan ribuan lagi graduan sibuk mencari peluang pekerjaan.

Dia mahu segera mendapat pekerjaan yang baik setara dengan kelulusannya. Dia mahu segera membayar kembali ribuan ringgit pinjaman pendidikan yang diperoleh sebelum ini. Selain itu, dia mahu membalas jasa orang tua selain membantu adik-adik yang masih bersekolah.

Ketika ini, ribuan graduan telah tamat pengajian sedang mencari pekerjaan. Ikut laporan dan data dikeluarkan, terdapat lebih 31,000 pelbagai jawatan pekerjaan di pasaran pada suku kedua tahun ini

Namun, kenapa sukar untuk dia mendapat pekerjaan yang setara dengan kelulusannya?

Akhirnya, Ali ternampak iklan tawaran pekerjaan di luar negara. Gaji ditawarkan amat menarik dan syaratnya juga mudah, tidak serumit lain-lain pekerjaan yang dipohonnya sebelum ini.

Tanpa fikir panjang, dia cuba memohon dan nasibnya baik dia diterima. Maka sibuklah Ali membuat persediaan untuk berangkat ke negara berkenaan.

Sebenarnya, tanpa disedari, Ali telah termasuk pe­rangkap sindiket atau ejen pekerjaan yang menyasarkan rakyat negara ini untuk direkrut sebagai scammer di luar negara. Untuk mengelabui mata calon dan pihak berkuasa, mereka menyembunyikan identiti dan kegiatan sebenar. Kegiatan mereka hanya terbongkar tatkala pencari kerja seperti Ali, tiba di negara destinasi.

Kegiatan sindiket ini telah banyak didedah dan dikongsikan oleh akhbar ini untuk dijadikan peringatan kepada Ali dan ribuan anak Malaysia yang mencari pekerjaan. Hasrat mahu mengubah nasib, yang dapat derita.

Menurut laporan, hampir 700 rakyat Malaysia menjadi mangsa penipuan pekerjaan di luar negara dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Laporan juga menyebut, lebih 73 peratus rakyat Malaysia telah menjadi mangsa penipuan atau scam dalam tempoh setahun lalu, menurut laporan statistik State of Scams in Malaysia.

Memanglah tidak logik gaji RM7,000 tanpa kelayakan. Tapi, itulah umpan ejen pencari pekerjaan seperti pendedahan akhbar ini kelmarin. Apa yang kita bimbang, akan ada yang termakan umpan itu.

Untuk itu, bagi graduan, anak-anak muda Malaysia yang mencari pekerjaan, hati-hatilah, selidik dahulu latar belakang syarikat dan lain-lain, lebih-lebih lagi sekiranya tawaran diberi tidak masuk akal. Bukan sahaja untuk tawaran bekerja dalam negara, lebih-lebih lagi di luar negara.

Bagi pihak berkuasa pula, ambillah tindakan segera untuk membanteras sindiket ini. Jangan biarkan mereka terus mengaut untung atas penderitaan anak-anak kita. Makin lambat tindakan diambil, makin ramailah yang akan termakan umpan dan jadi mangsa. Yang ruginya nanti adalah kita.

Di pihak majikan pula, tawarkanlah pekerjaan dan gaji yang setara dengan kelulusan dan kos hidup semasa. Janganlah pula bersikap ‘ibarat lintah darat’, gaji ditawar kecil tetapi pekerja diperah kerana mahukan hasil yang maksimum. – UTUSAN

Yulpisman Asli adalah Pengarang Berita Utusan Malaysia

×