Asyik berpolitik, jangan lupa orang muda nak kahwin

Asyik berpolitik, jangan lupa orang muda nak kahwin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Empat tahun memerah otak di pusat pengajian tinggi. Harapan selepas tamat pengajian dapatlah bekerja, bergaji lumayan boleh menabung, berkahwin dan membina keluarga.

Hakikatnya, ramai orang muda mahu berkahwin tetapi tidak mampu. Perkara itu dikongsikan oleh Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Kelyarga Negara (LPPKN), Datuk Seri Rohani Abdul Karim seperti dilaporkan akhbar ini kelmarin.

Alasannya, bukan setakat kekangan ekonomi, malah kos sara hidup, pekerjaan, perumahan dan masalah kesuburan membuatkan orang muda masa kini dalam dilema untuk berkahwin dan membina keluarga awal. Mereka tentunya tidak mahu nanti rakan-rakan anak mereka memberitahu: “Atuk kau dah datang” ketika mengambil anak di sekolah.

Kata seorang anak muda: “Saya nak membina kerjaya dahulu sebelum berkahwin.” Dia berharap, dapat melakukannya dalam tempoh lima tahun lagi meskipun tiada jaminan peluang kerjaya dan gaji lumayan menanti.

Di sesetengah negara, pihak kerajaan dilaporkan menganjurkan perkahwinan beramai-ramai bagi membantu pasangan berkahwin. Malah ada yang memberikan insentif kepada rakyatnya yang berkahwin. Di China dan Singapura, kerajaan dilaporkan memberikan insentif supaya rakyat mereka berkahwin untuk meningkatkan populasi.

Bagi sesetengah negara, ramai populasi merupakan aset dan kekuatan untuk ekonomi negara, daripada aspek pasaran dan tenaga kerja. Sebaliknya, Malaysia sedang berdepan penurunan peratus kelahiran. Impaknya, negara dijangka mencapai status negara tua lebih awal daripada jangkaan.

Kesan negara tua, Malaysia bakal berdepan krisis tenaga dan penggantungan kepada tenaga kerja asing untuk mengisi pelbagai peluang pekerjaan di sektor-sektor kritikal terutama pekerjaan berat dan 3D (kotor, bahaya dan sukar).

Ketika media melaporkan pelbagai masalah dihadapi rak­yat, negara turut disajikan laporan-laporan ‘kegilaan’ orang politik berpolitik sepanjang masa. Ia dapat dilihat dengan desakan pelbagai pihak supaya pilihan raya diadakan lebih awal meskipun tempoh sebenar kerajaan belum berakhir. Sampai lupa anak-anak muda susah hendak kahwin.

Mujur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak ‘mengalah’ dengan desakan tersebut apabila menegaskan tiada keperluan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) lebih awal, kerana kerajaan mahu fokus kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi membantu rakyat.

Sebagaimana dijelaskan oleh Perdana Menteri, rakyat semakin bosan dengan ‘politiking’ yang berterusan selepas PRU-15 lalu. Yang sibuk supaya PRU awal merupakan kelompok yang ‘kemaruk’ jawatan dan kedudukan, kononnya untuk membawa perubahan kepada negara dan membantu rakyat.

Apa jaminan mereka jika PRU awal, pihak yang kalah, tidak ‘melancarkan ‘serangan’ kepada parti yang memerintah?

Dalam keadaan negara berdepan ketidak tentuan geopolitik susulan krisis di Asia Barat yang masih tidak berakhir, parti-parti politik patut sama-sama memikirkan agenda mengukuhkan pertumbuhan ekonomi demi kesejahteraan hidup rakyat. Jika tidak mahu membantu, simpan sahaja strategi anda untuk PRU akan datang. Masa itu berpolitiklah sepuas-puasnya dan tahulah rakyat untuk memilih siapa. – UTUSAN

Yulpisman Asli adalah Pengarang Berita Utusan Malaysia