Artis porno ‘dilayan’ bagai idola

Artis porno ‘dilayan’ bagai idola

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEORANG lelaki yang baru-baru ini didakwa di mah­kamah atas tuduhan mengiklankan dan menjual video­nya melakukan hubungan seks dengan beberapa wanita di media sosial dilayan umpama selebriti oleh orang ramai ketika berkunjung ke sebuah bazar.

Dalam video yang tular di media sosial, kelihatan pe­ngunjung beramah mesra dengan lelaki itu yang dikenali sebagai ‘Hot Daddy Ash.’ Tua, muda, lelaki, wanita, yang dukung bayi dan tolak anak dalam kereta sorong pun turut serta.

Ada yang mengambil gambar, tidak kurang juga berswafoto dengannya, tidak ubah seperti artis yang sedang meningkat naik. Tanpa segan silu seolah-olah dia tidak pernah melakukan sebarang perbuatan jenayah, begitu ‘suci.’

Tidak pastilah sama ada mereka kenal siapa lelaki itu? Atau mereka tidak tahu apa yang telah dilakukan oleh­nya hingga ditahan pihak berkuasa? Nak kata tak kenal atau tak tahu, tak logik pula.

Mestilah mereka kenal dan tahu. Kalau tidak masakan mereka beria-ria nak bergambar dan bersalam dengannya.

Itu belum lagi komen daripada wanita-wanita yang umpama ‘penyokong setia’ Hot Daddy Ash dengan memberikan kata-kata semangat – “Stay strong (bertabah­lah)”; “Pintu taubat sentiasa terbuka.”

Bagi saya, walaupun Hot Daddy Ash dan tertuduh (wanita) lain belum disabitkan kesalahan dan kini dibebaskan dengan ikat jamin sehingga sebutan semula kes pada 28 Februari ini, kita perlulah gunakan logik akal untuk memilih siapa yang wajar disanjung sebagai idola. Bukan main hentam kromo.

Juga perlu ada peraturan ketat daripada pihak berkuasa agar individu sebegini dilarang daripada bergaul bebas dengan masyarakat selagi kesnya belum selesai memandangkan dia terlibat dengan perbuatan tidak bermoral.

Ini kerana ia boleh memberi tanggapan salah kepada masyarakat khususnya remaja, bahawa perbuatan sedemikian bukanlah jenayah selain seks bebas bukannya maksiat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar pun ada membuat teguran terhadap pempengaruh media sosial agar tidak mencipta sensasi serta menagih populariti sehingga sanggup menormalisasikan perkara mungkar dan maksiat.

Katanya, tindakan sebuah program audio siar (podcast) mengundang Hot Daddy Ash sebagai tetamu adalah tidak wajar.

Bagaimanapun, dapatan awal Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan video yang dikatakan ada disiarkan dalam program berkenaan tidak dapat dikesan, sama ada ia tidak dimuat naik atau telah diturunkan oleh platform atau tuan milik video itu.

Justeru, seperti pernah saya sebutkan dalam ruangan ini pada 11 Januari lalu, mungkin sudah masanya kerajaan memperkenalkan garis panduan untuk kandungan audio siar di negara ini.

Ini bagi mengelak perkara sebegini ‘terlepas’ kepada tontonan umum tanpa tapisan. Tidak begitu? – UTUSAN

Zabry Mohamad Madzlan ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.