Apabila Singapura minta rakyat guna kipas berbanding aircond

Apabila Singapura minta rakyat guna kipas berbanding aircond

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA Selasa lalu, kerajaan Singapura melalui kenyataan oleh Timbalan Perdana Menteri, Gan Kim Yong menggalakkan rakyat mereka supaya menggunakan kipas berbanding penghawa dingin atau aircond di rumah.

Rakyat Singapura juga diminta menggunakan pengangkutan awam berbanding kenderaan sendiri dalam pergerakan harian. Sama ada untuk pergi kerja atau tujuan persendirian.

Tujuannya untuk sama-sama membantu bagi mengurangkan kesan tekanan akibat krisis tenaga yang berterusan akibat konflik di Asia Barat yang berpunca serangan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran.

Kim Yong ketika berucap di Parlimen negara itu memberi amaran bahawa kesan konflik Asia Barat boleh ‘berterusan untuk beberapa ketika’. Dan ketika kerajaan sedang berusaha untuk mencari penyelesaian, pihak lain termasuk rakyat mesti menyum­bang untuk menguruskan situasi tersebut.

Walaupun Singapura memiliki loji penapis minyak yang keenam terbesar di dunia tetapi apabila berlaku perang antara AS-Israel, bekalan minyak mereka juga terjejas. Loji penapis minyak di Jurong yang dimiliki ExxonMobile memproses hampir 600,000 tong minyak mentah sehari.

Loji milik Singapore Refine Company pula memproses 290,000 tong sehari. Tetapi apabila berlaku perang di Iran, harga petrol negara itu naik hampir 30 peratus dan diesel 40 peratus. Sepatutnya Singapura mestilah mempunyai stok semalam, kelmarin, minggu lepas, bulan lepas atau tahun lepas yang banyak. Tetapi kenapa mereka juga terjejas?

Tetapi apa yang menarik tentang Singapura dalam menghadapi krisis ialah rakyatnya kekal tenang. Walaupun kerajaan me­nyarankan mereka menggunakan kipas berbanding penghawa dingin dalam keadaan cuaca yang panas sekarang ini, mereka tidak membantah.

Jika di Malaysia, cadangan seperti itu sudah tentu akan mendorong rakyat turun ke jalanan untuk memprotes. Meminta Perdana Menteri berundur dan kerajaan ditukar.

Tetapi di Singapura perkara itu tidak berlaku. Walaupun akar rakyatnya adalah hampir sama dengan Malaysia iaitu Cina, India dan Melayu yang membentuk majoriti serta disokong oleh lain-lain kaum yang mewujudkan keharmonian.

Rakyat Singapura faham, apabila kerajaan meminta ‘bantuan’ atau ‘kerjasama’ daripada rakyat sudah tentu situasi keseluruhan berada dalam keadaan cukup sihat. Krisis berlaku depan mata. Setiap hari mereka boleh tengok loji-loji minyak utama di Asia Barat dibom, laluan utama membawa minyak disekat malah negara-negara jiran serantau dan dunia semuanya terjejas.

Mereka faham, tidak ada kerajaan di dunia ini yang mahu menyukarkan kehidupan rakyat. Tetapi apabila negara berada dalam kesukaran ekoran faktor luaran yang di luar kawalan kendiri, mereka faham bahawa rakyat juga perlu membantu meringankan beban itu.

Yang membezakan rakyat Singapura dengan rakyat Malaysia adalah mentaliti. Sebab itu mereka dikatakan memiliki mentaliti dunia pertama. Berbanding di Malaysia, rakyat kita pakar dalam serba-serbi bidang. Sebab itu apa sahaja yang dilakukan untuk melindungi kepentingan negara dan penduduk untuk jangka panjang akan ditentang habis-habisan.

Sebab itu, ada pepatah lain padang lain belalang. Semoga boleh mencontohi sedikit mentaliti rakyat Singapura dengan tenang dan bersama kerajaan menghadapi krisis ini.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia