Apabila sentimen, persepsi dan emosi jadi kriteria mengundi - Utusan Malaysia

Apabila sentimen, persepsi dan emosi jadi kriteria mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APAKAH kriteria parti dan pemimpin yang perlu dipilih oleh para pengundi di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 1 Ogos ini? Apakah hati mereka sudah pun tetap siapa dan parti mana yang akan dipilih atau masih boleh berubah lagi pada saat-saat akhir.

Adakah perkembangan mutakhir ini yang menyaksikan parti yang bermusuh sebelum ini kini menjadi kawan sudah pasti akan turut mempengaruhi pe- ngundi dalam membuat keputusan?

Dalam politik memang tiada musuh yang kekal dan tiada juga kawan yang abadi.

Yang kekal hanyalah kepentingan. Hakikat ini telah berulang kali dibuktikan dalam landskap politik Malaysia apabila parti yang semalam saling menuduh sebagai pengkhianat, hari ini boleh duduk semeja atas nama kestabilan.

Begitu juga sekutu yang pernah bersumpah setia akhirnya berpecah kerana perebutan kuasa. Malangnya, rakyat pula sering menjadi mangsa kepada permainan persepsi dan emosi.

Sebagai pengundi pula, apakah pertimbangan yang akan kita gunakan untuk memilih wakil rakyat dalam keadaan begini? Majoriti sudah tentu akan membuat keputusan mengikut sentimen, emosi dan persepsi. Sentimen bahawa pakatan baharu ini baik untuk kepentingan kaum dan persepsi bahawa andai kerajaan ini diganti maka situasi akan bertambah baik.

Setiap kali menjelang pilihan raya, sentimen mengatasi kewarasan. Ada yang mengundi kerana marah, ada yang mengundi kerana terlalu taasub kepada seorang pemimpin manakala sebahagian lagi sekadar mengikut gelombang media sosial.

Rekod pentadbiran, keupayaan mengurus ekonomi dan integriti calon akhirnya menjadi pertimbangan kedua. Mereka lupa bahawa untuk berubah menjadi lebih baik, negara atau negeri memerlukan kestabilan. Tetapi apabila pilihan raya berubah menjadi pertandingan persepsi, data dan fakta semuanya ditolak ke tepi.

Lebih membimbangkan, penyokong parti politik sendiri seolah-olah dipaksa mengubah pendirian mengikut arahan pemimpin. Semalam mereka diminta membenci sebuah parti itu habis-habisan.

Hari ini parti yang sama diumumkan sebagai rakan strategik. Esok, apabila kerjasama itu gagal, mereka diminta menyerang semula bekas sekutu tersebut.

Anehnya, ramai yang menurut tanpa mempersoalkan perubahan itu. Inilah akibat apabila politik dibina atas emosi, bukannya prinsip. Yang diangkat bukan nilai perjuangan, tetapi individu. Yang dipertahankan bukan dasar, tetapi personaliti.

Apabila pemimpin berubah haluan, penyokong turut berubah arah tanpa menilai sama ada tindakan tersebut benar-benar membawa manfaat kepada negara. Tidak salah parti politik membentuk kerjasama baharu atau menamatkan hubungan lama. Itu lumrah dalam sistem demokrasi.

Namun apa yang menjadi persoalan adalah sejauh mana perubahan itu berpaksikan kepentingan rakyat, bukannya sekadar percaturan untuk mengekalkan kuasa. Jika alasan yang diberikan hari ini bercanggah dengan hujah yang dilaungkan semalam, rakyat berhak bertanya sama ada prinsip masih mempunyai tempat dalam politik.

Pengundi yang matang tidak sepatutnya terperangkap dalam perang persepsi. Mereka perlu melihat rekod, menilai dasar dan mengukur kemampuan seseorang pemimpin menyelesaikan masalah rakyat.

Demokrasi hanya akan matang apabila rakyat berhenti mengagungkan individu dan mula mengutamakan institusi serta dasar. Pemimpin datang dan pergi, gabungan politik boleh terbentuk dan berkecai, tetapi kepentingan negara mesti mengatasi kepentingan mana-mana parti. – UTUSAN

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia