Apabila Ku Li masuk dalam cerita Anwar - Utusan Malaysia

Apabila Ku Li masuk dalam cerita Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPATUTNYA teka-teki yang tercetus selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mempunyai sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan bagi menggantikan Pakatan Nasional (PN) terjawab semalam.

Namun, selepas Ketua Pembangkang itu menghadap Yang di-Pertuan Agong, bukan sahaja teka-teki itu tidak terjawab, malah menjadi semakin berselirat.

Pada sidang akhbar selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Ahli Parlimen Port Dickson itu mendakwa telah menyerahkan dokumen berbentuk Akuan Bersumpah (SD) dan pengesahan ketua-ketua parti yang didakwanya menyokong penuh langkah beliau itu. Namun, Istana Negara dalam kenyataan yang dikeluarkan pula memberitahu Anwar hanya memberikan jumlah nombor dan bukannya senarai terperinci siapa Ahli Parlimen yang menyokong.

Ketika semua mata tertumpu kepada Anwar, tiba-tiba muncul pula Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah masuk ke Istana Negara untuk menghadap Seri Paduka.

Tidak ada siapa tahu sama ada kehadiran Tengku Razaleigh itu ada kaitan dengan dakwaan Anwar atau atas sebab lain. Tetapi kemunculan Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO itu di tengah-tengah cerita Anwar mahu menjadi Perdana Menteri menimbulkan pelbagai spekulasi termasuk kemungkinan beliau merupakan salah seorang calon untuk mengetuai kerajaan.

Yang nyata teka-teki yang cuba dimainkan oleh Ketua Pembangkang terus tidak terjawab malah semakin berselirat jika berdasarkan fakta yang daripada sidang akhbar oleh Anwar dan kenyataan daripada Istana Negara.

Sehingga kini, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan Perdana Menteri yang sah dengan tumpuan beliau adalah untuk menangani krisis wabak Covid-19 yang semalam mencatatkan 660 kes baharu merupakan antara catatan harian yang tertinggi.

Memang tidak dinafikan, situasi politik kita pada ketika ini agak rapuh ekoran tidak ada pihak memiliki majoriti yang solid. Namun, siapa sahaja yang mahu menjadi kerajaan perlu mematuhi proses undang-undang dan Perlembagaan negara.

Sepatutnya keutamaan ketika ini adalah rakyat. Ketika negara bergelut dengan kes Covid-19 yang belum menunjukkan tanda-tanda akan surut, kehidupan rakyat teruk terjejas. Siapa yang jadi Perdana Menteri sudah tidak penting kerana survival untuk esok lebih mendesak.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya